Aduhai Puteriku sayang,
Jauhi lah dirimu daripada bebarapa sifat yang akan membawa kepada perasaan
dengki.

Satu ,Perasaan Permusuhan dan Kebencian. Ini adalah sebab yang paling banyak
menimbulkan kedengkian. Kerana sesiapa yang telah disakiti oleh seesorang
lain atas sebab-sebab tertentu atau menyangkalnya dalam tujuan-tujuan
tertentu lantaran alasan-alasan tertentu, hatinya pasti marah lalu membenci
orang yang menyakitinya itu, maka tertanamlah bibit dengki dalam dirinya.
Dengki mengundang perlakuan yang kasar untuk memuaskan hatinya.

Dua,berasa Diri Mulia. Perasaan ini manifestasinya ialah seseorang itu
merasa keberatan kalau ada sesiapa yang dianggapnya mengatasi dirinya. Dia
tidak rela kalau ada orang lain melebihinya. Kalau ada orang-orang
sepertinya yang mendapat lebih pangkat, kuasa, 'ilmu dan harta; dia bimbang
kalau-kalau orang tersebut akan bersikap takabbur terhadapnya. Dia tidak
boleh tahan dengan sikap mengatasi yang ditunjukkan oleh saingannya itu.
Malah ia tidak boleh menerima apa yang dirasakannya sebagai sikap
mengatasinya.

Tiga, Takabbur.Jelasnya seorang itu mempunyai watak membesarkan diri
terhadap orang lain, selalu memperkecilkan dan memperhambakan seseorang. Ia
menganggarkan seseorang itu mematuhinya. Apabila orang berkenaan menerima
atau memperolehi sesuatu kurnia ia khuatir kalau-kalau orang itu tidak lagi
dapat merelakan kepongahannya. Akhirnya orang yang telah mendapat kurnia
tersebut akan enggan mengikutinya. Atau boleh jadi ia
menganggap orang tersebut akan cuba pula menyainginya.

Empat, 'Ujub. Pernah Allah SWT jelaskan kepada kita perihal umat-umat di
zaman silam. Mereka merasa ta'jub dengan diri mereka sendiri. Hal ini
menghalang mereka menurut kebenaran. Hujjah mereka selalunya ialah seperti
yang tertera di dalam Al-Qur'an:
"Bukankah kamu tak lebih dari manusia (biasa) seperti kami juga?"

Dan ungkapan yang berbunyi:
"Dan mereka berkata adakah wajar kami mempercayai manusia yang seperti
kami juga?"

Golongan tersebut merasa aneh melihat orang yang berjaya mendapat pangkat
kerasulan, menerima wahyu dan martabat yang dekat di sisi Allah SWT ialah
manusia seperti mereka. Sebab itu mereka menaruh rasa dengki kepada
Rasul-Rasul tersebut.

Oheh itu wahai anakandaku,
Jauhilah dengki…sejauh-jauhnya.

Aduhai anakku sayang,
Dengarlah pesananku ini untuk kesekalian kalinya. Tuntutlah ilmu dengan
bersungguh-sungguh.Orang yang mencari 'ilmu untuk dijadikan bekalan di dalam
perjalanan hidup untuk Hari Kemudian dan berniat untuk mencari keredhaan
Allah semata-mata, maka ia termasuk dalam golongan orang-orang yang bakal
memperolehi keselamatan dan kejayaan. Imam Al-Ghazali menyatakan:
"Yang paling utama sekali adalah waktu kamu digunakan untuk menambah 'ilmu
yang berguna dan bermanfa'at terhadap Deen, iaitu 'ilmu yang dapat
menghantar kamu menuju ketaqwaan kepada Allah, membuka kesedaran kamu untuk
menyaksikan segala keburukan yang terdapat di dalam dirimu. Memperdalamkan
ma'rifat terhadap 'ibadah kepada Allah. Mengurangkan hasrat kamu yang
berlebih-lebihan terhadap dunia dan menambah penglibatan dirimu terhadap
kehidupan di akhirat kelak.


Aduhai puteriku sayang,
Jauhilah Ma'siat.Seorang pueri pilihan kau mesti menjauhi dirinya dari
Ma'siat. Memandang berat terhadap dosa-dosa besar, berwaspada terhadap
dosa-dosa kecil dan berusaha bersungguh-sungguh untuk menjauhinya. "Di dalam
tuntutan Deen terdapat dua perkara yang sangat penting untuk diperhatikan:
Pertama, meninggalkan dan menjauhi segala sesuatu yang dilarang dan
diharamkan. Kedua, berbuat ta'at dan menunaikan segala perintah, ber'ibadah
dan berbakti kepada Allah.

Aduhai Kesayangan hatiku,
Untuk menjadikan Iman dalam dirimu jauh dari pengaruh ma'siat hendaklah
kaujaga adab-adab yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah (s.a.w.) . Ini
adalah kerana kebiasaannya syaitan itu menyerang manusia dari pintu-pintu
yang terlemah di dalam dirinya. Oleh itu hendaklah ia membentengi dirinya
daripada serangan-serangan syaitan.

Adab-adab yang kumaksudkan itu telah ditunjukkan oleh Rasulullah (s.a.w.),
ia bersangkutan dengan:

a. Mata dan apa yang dilihatinya.
b. Telinga dan apa yang didengarinya.
c. Lidah dan apa yang diucapkannya.
d. Perut dan dari sumber yang bagaimana dimasukkan ke dalamnya.
e. Tangan dan apa yang dilakukannya.
f. Kaki dan ke mana diarahkannya.
g. Kemaluan dan bagaimana dijagainya.
h. Hati dan dosa-dosa yang dilakukannya.

Aku berdoa kepada Allah semoga Allah sentiasa menggolongkan kita ke dalam
golongan orang-orang yang beriman dan menjauhkan diri kita daripada
menyekutukan-Nya.

Kembali Laman Cikgunik ( Tapi jangan lupa kita akan kembali kepada Allah)