Aduhai puteriku sayang 007

 

Aduhai puteriku sayang,
KEHIDUPAN di alam ciptaan Allah ini tidak terkecuali daripada berhadapan dengan ujian dan cabaran. Allah sentiasa menguji manusia dengan pelbagai ujian, apatah lagi orang beriman dan kuat beribadat.

Ujian Allah bertujuan menilai sejauh manakah tahap kesabaran manusia, sama ada mereka bersabar atau sebaliknya.

Allah menjelaskan dalam al-Quran bahawa setiap manusia pasti diuji. Manusia pula perlu mengatur persediaan untuk menempuh ujian Allah, bencana atau musibah, agar tidak kehilangan punca, gelisah dan keluh kesah.

Wahai anakku,
Untuk menghadapi dugaan ini, kau perlu mempunyai daya kekuatan, kegigihan dan tidak mudah berputus asa. Ini sebenarnya memperlihatkan kemampuanmu bersabar ketika berdepan dengan masalah dan kesukaran hidup dan meyakini setiap ujian pasti ada hikmah di sebaliknya.

Cuba kau renungi,
Allah berfirman bermaksud:
"Dan sesungguhnya Kami tetap akan menguji kamu agar Kami mengetahui orang yang berjuang dan bersabar daripada kalangan kamu dan agar Kami dapat mengesahkan (benar atau tidaknya) berita mengenai keadaan kamu."
(Surah Muhammad: ayat 31)

Firman Allah lagi bermaksud:
"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman sedangkan mereka tidak diuji dengan sesuatu cubaan." (Surah Al-Ankabut: ayat 2)

Jelaslah wahai cahayamataku,
Bahawa ujian Allah bertujuan mendidik kamu agar menghadapi hidup dengan takwa dan beriman kepada Allah.

Nilai keimanan duri kita bergantung sejauh mana kita sanggup mengharungi pahit getir hidup dengan bersabar. Iman adalah ikatan perhubungan antara kita dengan Allah. Ini bersesuaian dengan hakikat Islam yang membina kekuatan dalaman insan dan sentiasa pula mengiginkan kebaikan.

Wahai anakku,
Sebagai manusia kau seharusnya tunduk terhadap apa jua ujian Allah dengan sabar.

Namun wahai anakku sayang,
Bagaimanapun, kebiasaannya ramai kecundang apabila menghadapi ujian Allah, mudah putus asa, resah dan hilang sabar dengan sedikit kesulitan atau cabaran biarpun ia menjanjikan sesuatu kejayaan.

Malah, apabila ditimpa kesusahan, kemiskinan, kesakitan dan permasalahan, kita semakin tercabar dan hilang sabar. Ada pula hampir melupakan bahawa segala yang berlaku adalah kudrat Allah yang mesti diterima dengan sabar.

Anakku perhatikanlah sabda Rasulullah , maksudnya:
"Siapa yang ingin bersabar, Allah memberikan kesabaran kepadanya. Dia tidak memberikan seseorang yang terbaik dan terluas daripada sabar."
Sebagai iktibar, wahai anakku,
Perhatikanlah perjalanan hidup kalangan utusan Allah dan salihin, mereka juga tidak terkecuali daripada ujian dan kesukaran hidup sebelum mencapai kejayaan. Malah, berapa banyak di kalangan mereka yang hidup sengsara dan menderita, tetapi tetap bersabar. 

Nabi Adam, Nuh dan Muhammad tidak terkecuali daripada ujian Allah dan
kesukaran hidup. Nabi Muhammad sendiri bukan sekadar diuji dengan kesukaran menegakkan Islam tetapi dijanjikan kedudukan dan kemewahan dunia oleh kaum Quraisy sekiranya baginda tidak meneruskan perjuangan menyebarkan syiar Islam. 

Malah, kronologi peristiwa hijrah baginda seharusnya dijadikan iktibar, bagaimana kesabaran baginda berjaya membina kegemilangan negara Islam. 
Allah berfirman melalui surah Asy-Syaffaat ayat 102 mengenai sikap kesabaran Nabi Ismail apabila bapanya Ibrahim mendapat perintah Allah supaya menyembelihnya sebagai korban kepada Allah. 
Ismail dengan sabar berkata:"Wahai bapa, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu, insya-Allah bapa akan mendapati aku daripada orang-orang yang sabar." 

Aduhai puteriku sayang,
Jika kamu hendak berbuat sesuatu, tetapi hati kamu gelisah kerananya, maka janganlah kamu perbuat. 
Jika kamu hendak megerjakan sesuatu, lihatlah dan fikirkanlah kesudahannya. 
Jika kamu hendak melakukan sesuatu, maka berundinglah dengan orang-orang yang tertentu. 

Ringkasnya wahai anakku,
3 perkara utama jika kau ingin melakukan sesuatu perkara: 
a. Gelisah, jangan buat. 
b. Lihat dan fikirkan kesudahannya. 
c. Bawa berunding. 

Sesungguhnya wahai puteriku,
"Kebaikan itu dalam ketenteraman, dan kejahatan itu dalam keraguan"


Kembali Semula ke Laman Utama