ADUHAI PUTERIKU SAYANG 014

Wahai permata hatiku,
Apa yang perlu kau lakukan untuk memudahkan kau memperolehi akhlak mulia. Jawapannya ialah melaksanakan segala perintah Allah itu dengan sifat kehambaan dan mengharapkan redhanya. Bukan kerana selain daripada Allah. Bukan rasa terpaksa atau kerana orang. Kerana amal ibadah yang tidak disertakan dengan rasa kehambaan, maka ibadah itu tidak ada nilainya di sisi Allah. Siapalah dirimu ini untuk sombong dan bongkak, kerana apa yang ada pada kau itu semuanya nikmat Allah. Bukan kau punya. Sampai masanya Allah akan ambil. 

Aduhai puteriku sayang,
Untuk apa kau bersikap pemarah dan kasar, kerana dirimu ini bukannya baik sangat, setiap masa dan ketika bersalah dengan Allah. Tidak malukah kau dengan Allah. Tidak takutkah kau lidahmu akan terpotong-potong dan mulutmu dituangkan dengan cairan besi yang panas, lantaran kau tidak menjaga mulut kita dari berkata fitnah dan mengumpat. Ingatlah Allah dan ingatlah akhirat. Renungkan siapalah dirimu ini. Apakah kau ini tuan atau hamba yang hina di sisi Tuhan. 

Wahai sayangku, 
Sekali kau gagal bukan bermakna kau tidak pandai atau bodoh. Jangan putus asa ya. Ini berlaku kerana kau gagal untuk menfaatkan kelebihan yang ada. Lazimnya inilah yang berlaku kepada sebahagian besar daripada mereka yang gagal kerana yang sebenarnya kegagalan itu bukan melambangkan kebodohan seseorang. kau gagal kerana tidak menggunakan kelebihan yang ada pada dirimu akibat persepsi yang salah tentang potensi diri atau menerima maklumat yang tidak tepat tentang diri sendiri. 

Anakku sayang,
Kau tidak akan mencapai kecemerlangan sekiranya pemikiranmu sentiasa dipenuhi dengan keraguan diri, fikiran negatif, mengikut perasaan dan cepat berputus asa. Kau juga tidak akan mencapai kecemerlangan sekiranya bersifat pemalas, suka membazirkan masa, memberikan keutamaan kepada perkara yang remeh dan tidak mahu meningkatkan diri. Tapi aku percaya sihat itu tiada padamu, Cuma sebagi nasihat dan waspada .

Sayangku,
Untuk berjaya, kau perlu berubah. Perubahan yang paling penting ialah mengakui kelemahan diri sendiri dan mengambil langkah untuk memperbaikinya. Terdapat dua espek perubahan dalam pemikiran dan perubahan di dalam amalan harian atau tindakanmu. Perubahan cara berfikir akan memberikan kesan ke atas tindak tanduk seseorang. Hasil akhir akan diperolehi ialah perubahan di dalam prestasi diri khususnya prestasi pelajaran. Perubahan cara berfikir berkait rapat dengan kebolehan seseorang mengubah persepsi tentang sesuatu. 

Aduhai puteriku sayang,
Selagi kau berpaut dengan pemikiran lamamu, tabiat dan amalan lama,maka selagi itulah kemajuan diri akan terbantut. Justeru itu keupayaan dan kesanggupan berubah adalah teras utama kecemerlangan diri. Selain daripada itu, kau harus menumpukan perhatian kepada matlamat yang hendak dicapai dengan sepenuh perhatian, masa dan tenaga. Andaikata kau tidak mempunyai matlamat setelah kesedaran diri untuk berubah, maka perhatian, masa dan tenaga akan dihabiskan ke atas aktiviti-aktiviti yang tidak berhubung kait dengan kejayaanmu. Fikiran akan bercelaru kerana terlalu banyak perkara yang difikirkan termasuk perkara-perkara yang remeh dan kurang penting. Di dalam hal yang sebegini, kecemerlangan tidak mungkin diperolehi. 

Aduhai puteriku sayang,
Kehidupan ini sentiasa diselubungi dengan seribu satu keinginan. Dengan adanya keinginan-keinginan inilah, setiap makhluk itu bergerak dan bertindak. Keinginan-keinginan ini terus menjadi hijab-hijab yang menghalang makhluk dalam menuju makrifatulLah, sehingga sang salik itu menyatukan segala keinginan kepada satu keinginan yang tunggal. Malah yang lebih ekstrim, keinginan itu akhirnya menjadi terlenyapkan, tenggelam dalam KEINGINAN ILAHI.

Aduhai sayangku lagi tercinta,
Setiap nafas yang keluar dari rongga hidung kita itu sesungguhnya adalah salah satu RAHMAT Allah yang tidak terperi. DiberiNya kita kudrat, ikhtiar dan pilihan dalam menempuh kehidupan ini. Tidak cukup dengan itu dicukupkan kita dengan rezeki makan minum, pakaian nan molek, kediaman buat berlindung serta kenderaan untuk mempercepat urusan duniawi. Ditumbuhkan benih-benih tanaman, dibiakkan ternakan, diturunkan hujan, segalanya untuk memperlengkapi manusia sebagai khalifah. Apakah lautan bisa menuliskan betapa banyak anugerah telah kita terima ? Mengapa masih ada keluhan-keluhan dari mulut-mulut manusia, bilamana menghadapi berbagai kesulitan ? Mengapa masih ada kehendak-kehendak rakus yang mengejar sesuatu yang melebihi keperluannya ? Bersyukur, dan bersyukurlah...wahai anakku, sehingga kesyukuran itu mengatasi segala ketidakpuashatian dan kerakusan

KEMBALI KE LAMAN CIKGUNIK