ADUHAI PUTERIKU SAYANG

SIRI 016

Wahai anak-anakku, Tuhan telah menunjuki kamu dapat beramal dan banyak berbuat kebaikan. Ingatlah, bahawa ustaz sebagai guru kamu tidak ubah seperti ayah kamu juga. Ustaz suka melihat kamu berkeadaan cergas dan sihat, cepat memahami, bersih hati, berbudi pekerti dan bersopan santun.

Ustaz amat gembira melihat kamu tidak mahu bercakap yang tidak baik, pandai bergaul, mengasihi kawan-kawan, bersimpati kepada fakir miskin dan orang-orang lemah, bersedia memaafkan kesilapan dan kesalahan orang. Sebenarnya itulah yang dinamakan akhlak yang terpuji.

Oleh itu, janganlah kamu menyia-nyiakan solat. Kerjakan solat yang lima pada awal waktu, jangan lambat-lambatkan. Selalulah beribadat kepada Allah,jangan biarkan waktu kamu terbuang untuk perkara-perkara yang tidak berfaedah.Wahai anak-anakku, kalau kamu orang-orang yang bersedia menerima nasihat, maka nasihat ustazlah yang paling patut kamu terima. Ustaz adalah guru kamu. Ustaz adalah pendidik kamu. Ustaz adalah pembimbing kamu ke jalan yang baik. Tidak kamu dapati orang yang lebih ambil berat dan gemar melihat kamu menjadi anak yang berguna selain daripada ustaz. Percayalah.

Wahai anak-anakku, ustaz adalah penasihat yang dapat kamu percaya. Dari itu, terimalah nasihat-nasihat yang ustaz sampaikan kepada kamu. Kemudian, amalkanlah ia di hadapan ustaz, di kalangan kawan-kawanmu dan ketika bersendirian. Wahai anak-anakku, jika kamu tidak dapat mengamalkan nasihat ini ketika kamu bersendirian, maka janganlah harap kamu dapat mengamalkannya di kalangan kawan-kawanmu. Kalaupun dapat, tapi amat sedikit yang dapat kamu amalkan. Kalau kamu tidak mahu menjadikan ustaz sebagai ikutan, maka siapa lagi yang akan kamu ikuti? Kalau kamu tidak menjadikan ustaz sebagai teladan, maka apalah gunanya kamu bersusah payah datangke sekolah mendengar nasihat-nasihat daripada guru?

Ingatlah, wahai anak-anakku, bahawa semua guru ingin murid-muridnya mendapat kebaikan. Kalau sudah begitu, apakah kamu suka guru kamu tidak senang melihat tingkah laku kamu? Sukakah kamu kalau guru kamu tidak suka melihat perangai kamu?

Percayalah, wahai, anak-anakku, bahawa ustaz suka melihat kamu beroleh kebaikan. Oleh itu, bantulah ustaz untuk menyampaikan kebaikan itu kepada diri kamu. Bagaimana caranya? Caranya adalah dengan taat dan melaksanakan apa-apa yang ustaz suruh kamu lakukan. Yakni berakhlak dan bersopan santun dalam segala keadaan.

Wahai anak-anakku, ketahuilah bahawa akhlak yang baik itu adalah perhiasan bagi seseorang. Akhlak yang baiklah yang akan menarik perhatian orang lain kepadanya. Akhlak yang baiklah yang membuatkan kawan-kawannya suka kepadanya; begitu juga kaum kerabat dan orang-orang lain.
Oleh itu, wahai anak-anakku, hiasilah diri kamu dengan akhlak yang baik. Jika kamu memiliki akhlak yang baik ini, maka orang lain pun menghormati kamu dan mengasihi kamu. Apakah kamu tidak suka dihormati dan dikasihi oleh semua orang?

Ingatlah, bahawa orang yang berilmu pun tidak ada gunanya kalau tidak berakhlak. Bahkan, tidak ada gunanya ilmu yang banyak jika tidak mempunyai akhlak yang baik. Lebih baik orang jahil yang berakhlak daripada orang yang berilmu tetapi tidak mempunyai akhlak yang baik. Mengapa dikatakan demikian? Tahukah kamu sebabnya? Sebabnya ialah kerana orang yang jahil tidak diberati kerana memang dia tidak tahu apa-apa lagi. Tapi orang yang berilmu seperti kamu tidak boleh beralasan seperti itu. Sebab orang sekeliling tahu bahawa kamu orang yang berpelajaran. Oleh itu, hiasilah diri kamu dengan akhlak dan budi pekerti yang mulia, wahai anak-anakku.

Janganlah kamu mengharap ustaz dapat mengawasi kamu setiap masa. Yang lebih baik ialah kamu mengawasi diri kamu sendiri. Kamulah yang paling dapat mengendalikan tingkahlaku dan perbuatan kamu. Oleh itu, ingatlah selalu nasihat-nasihat ustaz di mana pun kamu berada.
Wahai anak-anakku, Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
"Sesungguhnya Allah menghendaki agar agama ini sepenuhnya. bagi diri-Nya. Dan tidak ada yang patut bagi agama kamu kecuali pemurah dan akhlak yang baik. Oleh itu hiasilah agama kamu dengan kedua sifat itu.”

Kembali Ke Laman Cikgunik