ADUHAI PUTERIKU SAYANG

SIRI 023

Wahai anak-anakku, apabila kamu lalu di dekat satu kumpulan manusia, hendaklah memberi salam dengan lafaz yang sudah diketahui umum, yakni "'Assalamualaikum"'. Ini merupakan sunah Nabi yang sepatutnya diamalkan setiap Muslim. Janganlah tinggalkan salam ini lalu menggantikannya dengan ucapan-ucapan yang lain yang direka-reka.
Janganlah masuk ke dalam satu majlis sebelum meminta izin atau kebenaran. Kerana mungkin orang yang ada di dalam majlis itu tidak suka di antara mereka ada orang lain ketika membicarakan hal yang rahsia.
Jauhilah pula sikap keanak-anakan jika bergaul dengan orang lain. Sebab sifat keanak-anakan tidak disenangi kebanyakan manusia, walaupun orangnya dianggap orang yang luas pengetahuannya di tempat itu pada masa itu.

Wahai anak-anakku, fikirkanlah tentang diri kamu sendiri ketika kamu mengerjakan sesuatu yang di dalam rumahmu yang tidak kamu senangi jika ada orang lain di situ, tiba-tiba seseorang masuk ke dalam rumah. Bukankah kamu juga merasa tidak senang dan ingin agar orang yang datang itu cepat-cepat pergi meninggalkan kamu? I

Jadi, wahai anak-anakku, jika kamu tidak suka terganggu dalam pekerjaan kamu di rumah dengan ke-datangan orang lain, maka orang lain merasa demikian jika kamu masuk ke rumah mereka tanpa izin dan kebenaran. 

Wahai anak-anakku, jika kamu diundang ke suatu majlis yang kamu adalah orang yang termuda dl kalangan mereka, maka janganlah terus duduk sebelum kamu dipersilakan duduk. Jika kamu sudah duduk, jangan cuba bergurau dengan salah seorang yang berdekatan dengan kamu.

Di dalam majlis seperti ini hendaklah kamu menjaga adab dan tatasusila. Jangan berbuat sesuatu yang dapat menganggu orang lain yang ada di situ sehingga mereka terpaksa meninggalkan tempat itu. Jangan pula duduk di tempat yang dikhaskan buat seseorang.Jika ada orang yang lebih patut duduk di tempat yang sudah kamu duduki datang kemudian, maka hendaklah kamu berdiri dan meninggalkan tempat dudukmu sebelum ada yang menyuruh kamu. Dengan sikap dan akhlak kamu yang seperti itu dapat menambah hormat orang yang ada di majlis itu kepada kamu.

Wahai anak-anakku, jika kamu masuk ke dalam sekelompok manusia, janganlah ikut campur dalam percakapan mereka, kecuali setelah mereka mengajak kamu untuk ikut sama dalam percakapan itu. Janganlah berbicara jika di dalam majlis itu ada yang lebih patut berbicara. 

Ketika kamu bercakap, wahai anak-anakku, jangan ucapkan selain perkara-perkara yang benar sahaja. Jangan pula cuba bercakap panjang lebar, tapi cukup sekadar yang perlu sahaja,dan jangan cuba membantah kawan semajlis itu dalam percakapan kecuali dengan adab serta menjaga jangan sampai terucapkan hal-hal yang tidak baik.

Janganlah kamu tertawa terbahak-bahak atau berderai-derai di dalam majlis, kerana ini termasuk dalam kelakuan yang tidak terpuji, wahai penuntut ilmu. Usahakan tidak banyak bergurau, kerana banyak bergurau boleh menghilangkan rasa hormat orang lain kepadamu. Bahkan, bergurau atau gurauan itu boleh menyakitkan sesetengah orang kepadamu.

Wahai anak-anakku, jika hendak masuk ke dalam sesuatu majlis, masuk dan pergilah ke majlis yang baik-baik, bermaruah, iffah dan mulia. Hindarilah diri daripada bergaul dengan orang yang tidak menenu dan jangan pergi ke tempat-tempat mereka.

Waspadalah terhadap orang-orang yang suka mengumpat dan mengadu-ngadu. Jangan masuk ke dalam majlis mereka, lebih-lebih lagi ke majlis orang-orang fasik dan yang suka mengerjakan maksiat. Jauhilah daripada bergaul dengan orang-orang yang tidak menentu, yang suka mengintip serta munafik. Kerana kelakuan yang buruk boleh menjalar sebagaimana api boleh menjalar ke atas kayu kering.

 

Kembali Ke Laman Cikgunik