Aduhai puteriku sayang

,

            Rupa parasmu sangat ayu dan menawan. Jika kau ingin terus kekal dengan kecantikanmu, maka kau perlu gunakan kedua-dua bibirmu untuk kebenaran, menggunakan suaramu untuk sembahyang, dan untuk kedua-dua matamu rahmat serta belas kasihan, untuk tubuhmu kelurusan dan ketulusan (istiqamah) dan untuk hatimu cinta dan kasih sayang kerana Allah.

 

Wahai muslimahku,

            Jadikanlah kehidupanmu sebagai matahari, terbenam di satu wilayah untuk terbit di wilayah lainnya. Yang selalu bersinar dan hidup tidak pernah terbenam selamanya.

 

Wahai anakku sayang,

            Dulu kau pernah bertanya kepadaku tentang tawakkal. Maaf nak, pada masa itu ayah sibuk. Sebenarnya tawakkal itu ada empat prinsip.

 

1.      Kau perlu menyedari bahawa rezeki yang telah diperuntukkan untukmu tidak dimakan oleh orang lain, maka kerana itulah kau perlu bersikap tenang.

2.      Kerjamu tidak akan dilakukan atau direbut oleh orang lain, kerana itu kau selalu bekerja.

3.      Kau tahu bahawa kematian akan datang secara tiba-tiba, kerana itu kau sentiasa bersedia untuk menghadapinya.

4.      Kau perlu menyedari bahawa tidak dapat lepas daripada pengamatan Allah s.w.t di mana jua pun kau berada dan kau malu kepada Allah s.w.t , kerana itulah bertawakkal kepada-Nya.

 

Aduhai puteriku sayang,

            Hiduplah engkau dengan kebaikan. Sesungguhnya tiada kebaikan bagi harta kecuali dengan derma, tiada kebaikan kawan kecuali dengan kesetiaan. Tiada kebaikan dalam sedekah kecuali dengan nait ikhlas, tiada kebaikan dalam kehidupan kecuali dengan kesihatan dan keamanan. Tiada kebaikan dalam sembahyang tanpa pemahaman fiqah dan tiada kebaikan dalam membaca al-Quran kecuali dengan merenung isinya dan mengamalkannya.

 

Aduhai puteriku sayang,

            Satu perbuatan yang harus kau lakukan ialah tafakur. Tafakur itu bererti berfikir atau merenungkan keindahan ciptaan Allah, rahsia-rahsia kejadian dan segala yang terkandung di alam raya ini. Tujuannya ialah untuk membuktikan keagungan Allah.