Aduhai Putriku Sayang 38

 

Puteriku,

            Apabila kau membaca al-Quran kau akan berjumpa dengan ayat yang bermaksud “Mudah-mudahan kamu dapat memikirkan”, atau “Agar kamu dapat memahami”. Frasa ini sering diulang-ulang dalam al-Quran.

 

Mungkin kau akan bertanya, wahai anakku, kadang-kadang ayah tak terdaya menjawab persoalan yang begitu banyak.

 

Apakah faedah kita bertafakur?

 

Renungan keindahan alam akan membawa kau kepada suasana yang harmoni dan romantis. Betapa harmoninya pertautan antara bahagian-bahagian alam, betapa indahnya susunan, pantainya, air terjunnya, awannya, pokoknya sehinggakan waktu malam yang gelap pun menggambarkan keindahan. Lalu kau akan dapat satu kesimpulan bahawa Pencipta alam ini lebih sempurna lagi keindahan-Nya.

 

Adukai puteriku sayang,

            Selain daripada mata yang kau miliki untuk melihat, kau ada satu lagi penglihatan yang tersembunyi iaitu penglihatan hati. Dengan penglihatan inilah kau dapat melihat nikmat-nikmat yang diterima , betapa tidak terhitungnya nikmat-nikmat itu. Melalui penglihatan ini juga kau akan menginsafi kelemahan dan kekurangan diri, betapa tidak berdayanya kau di hadapan Allah.

 

Wahai anakku,

            Manusia mudah untuk melakukan dosa. Betapa banyaknya dosa apabila dihitung. Oleh itu, berusahalah  agar kau dihindari daripada dosa itu.

 

Duhai permata hatiku,

            Hidup ini adalah perjuangan, sekali ombak naik, sekali ombak turun. Itu sebabnya dalam hidupmu ada masa kau gembira dan ada masa kau sedih. Kadang-kadang kita  memukul dan kadang-kadang kita terpukul.

 

                                    “Tiba giliran menjadi palu       

                                    Hendaklah pukul habis-habisan

                                    Tiba giliran jadi landasan

                                    Tahan pukulan biar bertalu”.

 

           Kerana sesungguhnya daay tahan yang perlu ada padamu ialah iman dan amal soleh

 

Aduhai puteriku sayang,

Dalam perjuanganmu untuk iman dan amal soleh, tidaklah selalu kau bertemu dengan jalan yang datar dengan disirami minyak wangi, namun di kiri kanan ada duri. Kadang-kadang kita tersungkur atau terjatuh, sebagai nabi dan para sahabatnya menderita dengan ujian. Kerana itu wahai anakku, jika kau gagal sekali atau dua kali dalam usahamu mempertahankan iman dan Islam, bukan bererti tujuanmu itu tidak benar. Mungkin ada sesuatu yang tidak kena pada cara tindakanmu.

Mujahidahku,

           Perjuangan menegakkan Islam, mencapai tujuan sebagai khalifah di bumi ini.

Perjuangan ini bukan milikmu dan bukan milik generasi seangkatan denganmu. Tetapi ia sambung-menyambung. Usah bimbang anakku, teruskan usaha murnimu kerana dalam usaha ini, kau tidak akan ditanya tentang kejayaan, tetapi apa yang telah kau usahakan untuk agamamu.

 

Wahai anak tersayang,

           Dulu pernah aku beritahu padamu, tentang ucapan salam. Terlupa nak beritahu padamu bahawa apabila kau masuk ke rumah sendiri pun, harus diberi salam.

 

Kau mungkin akan bertanya, mengapa? Ayah sudah agak.

 

Anakku,

           Walaupun tidak ada orang yang mendengarnya tetapi ucapan itu adalah dalam dirimu untuk dirimu. Ucapan salam itu pada hakikatnya walaupun kau menyebutnya, namun ia adalah ucapan ‘tahiyyah’, yang bermaksud ucapan selamat daripada Tuhan sendiri kepadamu dicampuri lagi oleh berkat yang baik yang dilimpah kurniaan oleh Allah.

 

Aduhai puteriku sayang,

           Selain ucapan salam itu, kau juga harus baik dengan diri sendiri. Baik dengan diri  sendiri bererti menghormati diri sendiri dengan menjaga kelakuan, maruah dan tutur kata sebagai muslimah yang terdidik akhlaknya, yang menjadi kebanggaan ayah dan ibu. Jika kau baik dengan diri sendiri tentu kau dapat membangun sebagai muslimah yang berperadaban.