Ilmu 002

MILIKI SIFAT PEMENANG






Senyum bahagia terukir di bibir ayahanda dan bonda melihat anak-anak bergurau senda setelah begitu lama tidak bersua. Hilai tawa si anak kecil menambah kemeriahan suasana sambutan hari raya yang menjelang tiba buat sekian kalinya. Begitulah gambaran biasa pabila tibanya hari yang penuh ceria ini setelah sebulan menunaikan ibadat puasa.Yang tua dengan aktivitinya, yang muda dengan agendanya dan tidak ketinggalan yang kecil dengan ragam dan caranya yang tersendiri dalam mengisi kemeriahan berhari raya. Rumah terbuka ada di mana-mana dan masing-masing saling ziarah- menziarahi antara satu sama lain dalam merapatkan lagi tali persaudaraan dalam agama dengan melupakan persengketaan yang ada. Inilah antara nikmat hari raya sebagai hari penyubur kasih penyebar sayang antara saudara seagama. Jika ia dapat disemai dan dibajai sebaik mungkin maka impian untuk melihat umat Islam kembali bersatu di bawah panji Islam akan segera tercapai. Bersyukurlah kita Allah yang telah menganugerahkan nikmat yang paling berharga iaitu nikmat iman dan Islam sehingga kita boleh menyambut kemeriahan hari raya yang telah ditetapkan oleh agama dalam landasan syariat yang begitu suci sehingga dalam berhari raya pun Islam telah mengajar adab dan perkara sunat yang digalakkan dilakukan oleh umat Islam pada hari raya dengan janji ganjaran pahala. Pahala tidak pernah lekang daripada setiap amalan soleh sehingga memberi suntikan semangat kepada kita untuk menggandakan dalam berbuat amalan baik tetapi dalam masa yang sama kita jangan pula lupa dan alpa kepada dosa yang juga tidak akan lari daripada mereka yang melakukannya sehinggalah dia benar-benar bertaubat kepada Allah.

Laungan takbir kemenangan yang sentiasa dilaungkan setiap kali tibanya hari raya sepatutnya telah mengetuk sama hati kita untuk berfikir samada kita telah menang atau pun tidak. Menangkah kita dalam melawan nafsu sepanjang Ramadhan lalu dan bulan-bulan yang mendatang. Menangkah kita dalam melawan malas sehingga meningkatnya kuantiti dan kualiti ibadat khusus serta kerja kita. Menangkah kita dalam meneruskan tarbiah yang ditimba sepanjang Ramadhan lalu setelah syaitan dan iblis dilepas daripada rantaiannya untuk bersama dengan nafsu dalam menggoda kita pabila berlalunya Ramadhan. Menangkah kita dalam menghidupkan budaya ilmu sebagai mengikuti saranan al-Quran yang kita khatamkan beberapa kali sepanjang Ramadhan lalu. Menangkah kita dalam melahirkan diri sebagai hamba Allah yang bertaqwa bukan hanya setakat tahu menyebut dimulut tetapi mampu direalisasi di alam realiti.Menangkah kita dalam menjadi hamba Allah yang soleh yang mampu berjihad menumpas nafsu dalam diri, menghapus sikap sayangkan kemewahan dunia serta mampu berhadapan dengan serangan musuh yang memerangi agama Allah. Menangkah kita dalam melahirkan masyarakat yang mendirikan tamadun yang seimbang antara insan dan kebendaan melalui suluhan wahyu.Menangkah kita dalam menyampaikan mesej dakwah Islam yang suci kepada diri kita, keluarga kita, saudara mara kita dan seterusnya masyarakat sekeliling kita.Menangkah kita dalam mendaulatkan kembali sistem Islam dalam seluruh aspek kehidupan sehingga mampu meraih kebahagiaan di dunia dan akhirat.Menangkah kita dalam menghulurkan bantuan kepada saudara kita yang sedang menghadapi senjata kuffar durjana setiap masa.

Ingatlah kita bahawa setiap kalinya tiba hari raya maka takbir kemenanganlah yang akan dilaungkan samada oleh umat Islam yang hidup dalam keadaan aman atau pun yang sedang menghadapi peperangan dan penindasan. Ini memberi suatu pengajaran yang besar bahawa dunia Islam yang dulu kelam kemudian bersinar terang dan kembali suram serta ia akan kembali meraih kemenangan. Cuma waktu dan saatnya terletak kepada persiapan dan persediaan umat Islam sendiri ke arah merealisasikannya. Takbir kemenangan tidak cukup sekadar dilaungkan pada hari raya tetapi ia mesti dikotakan sehingga kemuliaan umat Islam kembali dinikmati. Betapa semangatnya Rasulullah s.a.w dan para sahabat menyambut kemenangan dalam menghadapi tentera bersekutu kuffar ketika meletusnya peperangan Ahzab maka kegembiraan inilah yang bakal diraih oleh umat Islam pada hari yang kini turut berhadapan dengan tentera bersekutu kuffar pimpinan Amerika dengan syarat mereka ikhlaskan hati dalam berjuang serta rapatkan hubungan hati dengan Allah sepanjang masa.Biarlah selepas ini takbir hari raya yang menyentuh mengenai kemenangan dapat benar-benar dirasai oleh umat Islam hari ini bukan sekadar hanya keluar dari mulut sahaja perkataan kemenangan sedangkan tubuh badan terus menjadi mangsa penganiayaan dan penindasan kuffar yang tidak berperi kemanusiaan.Betapa bersemangatnya kita apabila melaungkan takbir hari raya maka kita mesti iringkan dengan semangat yang sama dalam memartabatkan semula seluruh sistem Islam agar bumi ini kembali aman daripada keganasan.











TUGAS DAN AKHLAK PENUNTUT ILMU

Rasanya agak janggal jika kita membincangkan masalah ilmu tanpa di ketengahkan apakah tugas yang perlu kita tunaikan di dalam misi menuntut ilmu, dan apakah akhlak yang perlu ada dan tanggungjawab yang prlu kita pikul terhadap ilmu yang kit pelajari.


--------------------------------------------------------------------------------

Tugas Penuntut Ilmu

Secara Umum, dapat digariskan empat tugas seorang penuntut ilmu:

1) Memperbetulkan niat

Perkara pertama yang perlu diambil perhatian oleh penuntu ilmu, ialah mempunyai keikhlasan niat demi untuk mencapai keredhaan Allah. Bukan untuk berbangga apabila digelarkan sebagai orang allim, atau tujuan mengumpulkan harta, pangkat atau yang seumpamanya.

Sabda Rasulullah SAW

Sesiapa yang mempelajari ilmu kerana Allah, tidak mempelajari ilmu kerana inginkan harta dunia, tidak akan dia temui kecuali Syurga hari akhirat kelak..-Riwayat oleh Abd. Razak-

Cuma perlu di ingat bahawa, jika harta, pangkat dan yang seumpamanya datang kepada seorang alim, maka tidaklah menjadi kesalahan untuk menerima dan memanafaatkannya.

2)Berterusan dalam menuntut ilmu

Ilmu adalah lautan yang tidak mempunyaipanti dan tepian. Maka usaha menuntut dan menambahkan ilmu hendaklah berlaku secara berterusan, tidak didalangi oleh peringkat-peringkat ijazah tertentu.

Firman Allah SWT.

"Katakanlah (wahai muhammad) tambahkan aku ilmu"surah Toha ayat 114

3) Sabar

Penuntut ilmu hendaklah sentiasa sabar dalam menempuh dugaan dan cabaran yang merintangi perjalanannya di dalam menuntut ilmu sama ada yang bersiafat fizikal mahupun spritual.

Tidak perlulah diceritakan di sini sejarah para sahabat dan ulama yang menempuh segala cabaran demi untuk menuntut ilmu.

4) Memuliakan Guru

Sabda Rasulullah SAW

Bukan dari umatku orang yang tidak memuliakan orang tua dan mengasihi anak-anak muda kami dan tidak mempelajari daripada orang-orang alim-Riwayat Abu Daud-


Saya tidak bertujuan untuk menghuraikan hak seorang alim/guru ytang perlu ditunaikan oleh muridnya di dalam artikel ini cuma dicadangkan agar kita mengambil sedikit dari masakita untuk melihat kembali perkara ini, semoga segala ilmu yang kita tuntut mendapat keredhaan Allah SWT



--------------------------------------------------------------------------------

Akhlak Penuntut Ilmu

1) Merasakan Tanggungjawab ilmu

Diriwayatkan Daripada Muaz bin Jabal die berkata Rasulullah SAW bersabda. Tidak akan mara seseorang hamba di hari Akhirat melainkan telah ditanya mengenai 4 perkara: Berkenaan Umurnya ke mana yang telah dia habiskan. Berkenaan dengan Waktu mudanya apa yang telah dia lakukan. Berkenaan dengan hartanya dari mana diperolehinya dan ke mana dia belanjakan. Dan berkenaan dengan ilmu apa yang telah perbuat dengannya.-Riwayat oleh Attabarani dengan isnad yang sohih-


2) Menjaga amanah ilmiah

Sabda Rasulullah SAW :

Berilah nasihat pada ilmu, Sesungguhnya khianat seseorang daripada kamu terhadap ilmu adalah lebih dahsyat daripada khianatnya terhadap hartanya, Dan sesungguhnya Allah akan bertanya kepada kamu pada hari kiamat - Riwayat Attabarani-

Di antara yang termasuk dalam daerah amanah ilmu adalah beberapa perkara berikut.

- Menasabkan atau menyandarkan pendapat dan fikrah (buah fikiran) kepada Tuannya.

- Menyampaikan ilmu yang diketahui, dan tidak malu untuk mengatakan"tidak tahu" jika dia tidak mengetahuinya.

3)Tawadduk

Para Ilmuan yang menyedari bahawa ilmu adalah lautan yang tidak bertepi tidak akan merasa sombong dan bangga dengan apa yang ada pada mereka. Bahkan selagi bertambah ilmu di dada, semakin bertambah sifat tawadduk.

Firman Allah SWT: "Tidak diberi kepada kamu ilmu kecuali sedikit sahaja"Surah al-Isra' ayat


4)Mulia diri (Al-Izzah)

Para ilmuan hendaklah merasa mulia diri tidak merendahkan diri apabila berhadapan dengan pemerintah, golongan bangsawan, golongan kaya-raya dan yang seumpamanya,

Firman Allah SWT: "kekuatan itu hanyalah kepada Allah, bagi RasulNya dan bagi orang-orang mukmin, tetapi orang-orang munafik itu tidak mengetahui"surah al-Munafikun ayat 8

"Barangsiapa yang menghendaki kemuliaan, maka bagi Allahlah kemuliaan itu semuanya"

surah Fathiir ayat 10

5)Beramal dengan apa yang dipelajari

Firman Allah taala ; "Mengapa kamu menyuruh orang lain (mengerjakan) kebajikan, sedangkan kamu sendiri melupakan diri (kewajiban)mu sendiri padahal kamu mambaca Al-Kitab (Taurat)? Maka tidakkah kamu berfikir?"surah al-Baqarah ayat 44

6) Sentiasa berusaha untuk menyampaikan ilmu

Firman Allah taala: "Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil janji dari orang-orang yang telah diberi kitab (iaitu):"Hendalah kamu menerangkan isi kitab itu kepada manusia, dan janganlah kamu menyembunyikannya", lalu mereka melemparkan janji itu )ken belakang punggung mereka dan mereka menukarkannya dengan harga yang sedikit, Amatlah buruk tukaran mereka terima" surah Ali Imran ayat 187

kembali klik back