Ilmu 003

Bentuk Hubungan Yang Dilarang

Oleh : Ustaz Shamsul

Siar pada : 26 Jun 2001 19:48:13


Perhubungan yang dijalinkan secara akrab antara lelaki dengan lelaki dan wanita dengan wanita adalah digalakkan di dalam Islam. Ianya yang termasuk dalam tujuh golongan manusia yang dilindungi pada hari Mahsyar (seperti yang disebutkan hadis tetapi perhubungan tersebut biarlah didasarkan dengan iman dan kerana Allah. Kerana jikalau tidak didasarkan kerana Allah , ditakuti ianya akan sampai ke tahap digoda oleh sayitan yang menyebabkan lesbian atau homoseks.

Begitu juga lelaki dan perempuan tidak boleh berdua-duaan, tetapi untuk mengelakkan pandangan serong masyarakat, apa salahnya bertemu dalam berkumpulan yang tentunya lebih murni daripada berdua-duaan. Jika ada suami orang misalnya yang ingin berbaik-baik dengan mana-mana isteri orang, kenapa tidak berbaik-baik sekali dengan suami perempuan tadi berserta isterinya sekali. Supaya hubungan itu benar-benar di bawah lindungan Allah dan dalam adab yang telah digariskan Allah.

Mudah meluahkan perasaan kepada lain jantina?

Banyak orang beralasan mencari rakan berlainan jantina untuk mudah meluahkan perasaan. Perempuan yang mempunyai masalah rumah tangga lebih selesa meluahkan perasaan kepada lelaki kerana baginya lelaki lebih memahaminya. Katakanlah, hubungan antara ketua dengan pekerja. Ketua begitu mengambil berat masalah pekerja perempuan dan sering bertanya masalah rumah tangganya. Lama kelamaan bermulalah luahan perasaan. Tetapi akhirnya menimbulkan satu keadaan apabila perempuan itu merasakan suami tidak lagi memahaminya, sebaliknya orang lain pula memahaminya.

Inilah yang ingin dikawal oleh Islam. Selepas berkahwin, kehormatan agama terletak kepada suami. Jadi, sakit demam kenapa mesti disembunyikan? Ini kerana hubungan antara suami isteri seperti baju yang saling menutup satu sama lain. Tetapi dalam keadaan ini, apabila segala masalah diluahkan kepada orang lain sedangkan seseorang isteri itu ada suami, tentulah ianya akan menimbulkan fitnah. Begitu juga sebaliknya. Suami harus berterus terang dengan isteri di dalam masalah yang dihadapinya dan berusaha mencari jalan penyelesaian bersama.


Sehubungan itu, ramai yang beranggapan adalah ‘lebih selamat’ pada perhubungan lelaki dan perempuan yang sama-sama telah berkahwin kerana mereka tidak mungkin untuk saling tertarik lantaran masing-masing sudah mempunyai pasangan hidup. Berbanding hubungan lelaki perempuan yang sama-sama belum berkahwin, ia kemungkinan boleh terarah kepada percintaan. Bagi yang sudah berkahwin pula, jika nafsu dilepaskan kepada suami atau isteri di rumah, mengapa dalam perkara lain seperti masalah-masalah lain diluahkan kepada orang lain yang dianggap kawan?.

Tidak salah untuk meluahkan perasaan kerana sememangnya naluri manusia yang perlu mencurahkan perasaan hati kepada orang lain. Namun, kembali kepada hukum, ia haruslah dalam syariat dan adab yang dibenarkan.

Hubungan tersebut hars dijaga supaya ada keikhlasannya. Bercakap tentang ikhlas, walaupun seseorang bertegas mengatakan bahawa perhubungan terjalin atas dasar ikhlas, namun ia harus tunduk kepada syariat. Kita tidak boleh jadi Robin Hood, ikhlas memberikan duit kepada orang miskin tetapi duit diperolehi dengan hasil mencuri. Pendek kata, matlamat tidak boleh menghalalkan cara. Kalau tentu haram, tetap haram. Babi tetap haram sekalipun disembelih berpuluh kali dengan apa niat pun.

Memang ramai orang bersandarkan kepada ikhlas semata-mata. Kita mengatakan kita ikhlas menegur seseorang, tetapi sering cara menegur menyebabkan orang lain tersinggung. Kita ikhlas tetapi tidak mempunyai adab. Apatah lagi pergaulan sebegini, berpegang kepada kunci ia tidak memadai. Ia harus serentak - iaitu ikhlas dan menurut syariat.

Syarat untuk diterima sesuatu amalan itu, adalah ikhlas di sisi Allah dan ikut yang ditentukan Islam. Bagi orang bujang, cara menghalalkannya ialah nikah. Sementara bagi yang telah berumah tangga, dalam satu hadis, disebut apabila seorang lelaki melihat perempuan cantik, cepat-cepatlah dia balik ke rumah dan berjimak dengan isterinya, maka itu akan dapat membataskan niat yang tidak elok dalam dirinya. Hubungan berasaskan persahabatan ini, walaupun tiada hubungan seks, tetapi lama kelamaan, tidak mustahil akan sampai ke tahap bersekedudukan antara lelaki dan perempuan.

Pandangan Islam terhadap perhubungan angkat

Sehubungan itu, bagaimana pula pandangan Islam mengenai hubungan yang berlangsung atas nama abang angkat, kakak angkat, adik angkat? Dalam Islam, semasa zaman hijrah memang ada hubungan angkat itu, iaitu persahabatan yang akrab dijalinkan antara orang Ansar dan Muhajirin. Tetapi ia lebih kepada lelaki sesama lelaki atau perempuan sesama perempuan.


Dan satu segi, kebaikannya dapat mewujudkan satu pertanggungjawaban dan bertolong bantu. Hubungan angkat antara lelaki perempuan juga tidak salah, selagi menjaga syariat adab dan tidaklah dihalalkan ( haram ) sehingga bebas keluar ke mana-mana bersama. Selama mana di sana ada lelaki dan perempuan, maka haruslah menjaga batasan yang ditetapkan oleh syariat. Walaupun niatnya untuk menjaga keselamatan, kebaikan dan kebajikan, namun haruslah dengan batasan atau disertai mahram jika perlu.



Rasulullah s.a.w model Bapa Mithali

Oleh : Ustaz Shamsul

Siar pada : 21 Jun 2001 08:32:34


Rasullallah s.a.w dibangkitkan untuk memimpin umat manusia menuju ke jalan kebenaran. Allah mengutuskan rasulNya untuk memberikan bimbingan dan tunjuk ajar secara terus kepada umat agar dengan itu umat manusia keluar daripada kegelapan dan kesesatan. Firman Allah di dalam surah Al Ahzab, ayat 21 :

" Sesungguhnya pada Rasulullahitu bagi kamu ada ikutan yang amat baik."

Menyentuh mengenai Hari Bapa yang dirayakan oleh seluruh manusia pada 17 Jun ini, ianya adalah baik untuk diingati bagi mengeratkan lagi perhubungan diantara anak dengan bapa. Di dalam menyingkap sejarah Rasulullah yang berjaya membawa contoh yang baik di dalam pelbagai sudut kepada umat manusia, wataknya sebagai bapa umat amatlah terserlah. Rasulullahbersabda :

"Sesiapa yang tidak mengasihi anak-anak kecil kami, sedangkan dia tahu tanggungjawabnya sebagai orang yang dewasa, maka bukanlah dia dari kalangan kami."

( HR Bukhari )

Satu ketika para sahabat melihat Rasulullah s.a.w mencium anak kecil, lantas seorang sahabat menegurnya, "Engkau mencium anak kecil, Ya Rasulallah" Kerana di dalam sangkaan para sahabat tersebut, Rasulullahtidak mencium anak kecil. ( Di dalam adat jahiliyah, mencium anak kecil itu adalah perkara yang janggal ). Baginda mengiyakan lantas bersabda, " Barangsiapa yang tidak mengasihi (manusia), dia tidak akan dikasihi (oleh Allah).

Demikianlah sikap Rasulullah s.a.w di dalam mendidik umatnya berkasih sayang. Di dalam sebuah hadith yang lain Rasulullah s.a.w bersabda :

"Kasihilah sesiapa sahaja yang berada di bumi, nescaya akan dikasihi kamu sesiapa yang berada di langit ( Malaikat )."

( HR Abu Dawud )

Pernah satu ketika yang lain, di pagi Hari Raya, Rasulullah s.a.w bertemu dengan kanak-kanak yang sedang menagis di tepi jalan. Baginda terharu dan bertanya : Mengapa engkau menagis". Kanak-kanak tersebut menjawab : Ayah saya telah mati syahid, sementara ibu saya telah berkahwin lain. Nasib saya terbiar dan tidak mempunyai baju yang baru dan lain-lain persediaan untuk Hari Raya." Rasulullah s.a.w menitiskan air mata mengenangkan kisah anak tersebut.

Baginda berkata, "Sudikah kamu kalau aku menjadi ayahmu dan Aisyah (isteri Rasulallah) menjadi ibumu?. Sungguh tidak terkira gembiranya hati kanak-kanak itu, bila mendengar Rasulullah s.a.w yang mulia itu menawarkan dia menjadi anak angkatnya. Rasulullah s.a.w lalu membawa pulang anak tersebut, dimandikan dan diberikan pakaian yang baru serta dijamu makan. Betapa gembiranya hati Rasulullah s.a.w kerana dapat menggembirakan hati anak kecil itu.

Pada ketika yang lain, didalam perjalanan Rasulullah s.a.w menuju ke pasar, Rasulullah s.a.w melihat seorang budak (hamba sahaya) sedang menangis di tepi jalan. Baginda bertanya kepada budak tersebut mengapa dia menangis. Budak itu menjawab bahawa dia menagis kerana duit yang diberikan oleh tuannya untuk membeli barang telah hilang. Apabila mendengar masalah tersebut, maka Rasulullah s.a.w terus menggantikan duit yang hilang itu dengan duitnya sendiri.

Tetapi apabila pulang dari pasar, dilihatnya budak yang sama masih menangis. Rasulullah s.a.w bertanya, "Mengapa kamu masih menangis?. Budak itu menjawab,: "Kerana takut dimarahi oleh tuan saya kerana saya telah terlambat pulang dari pasar." Untuk mengelakkan budak hamba sahaya itu dari dimarahi, Rasulullah s.a.w sendiri telah menghantarnya pulang ke rumah. Rupanya rumah itu dihuni oleh sekumpulan wanita. Rasulullah sa.w terus memberikan salam. Setelah tiga kali memberi salam, barulah salam Rasulullah s.a.w dijawab. Rasulullah s.a.w bertanya, "Apakah kamu sekelian tidak mendengar salam saya?". Wanita-wanita tersebut menjawab, "Kami dengar tetapi sengaja kami tidak jawab, supaya kami mendapat doa dari Rasulullah banyak kali."

Rasulullah terus menerangkan tujuan kedatangannya itu adalah untuk menghantar budak sahaya mereka dan menerangkan mengapa budak tersebut lambat. Baginda meminta agar budak tersebut tidak dirotan tetapi jikalau mereka tidak berpuas hati, Rasulullah menawarkan dirinya sebagai ganti untuk dirotan. Lantas Rasulullah menyingsing lengan bajunya. Mendengar kata Rasulullah itu, kumpulan wanita itu lantas berkata, "Tidak Ya Rasulallah. Demi kemuliaanmu kami merdekakan budak ini."

Inilah sebahagian kecil dari kisah kehidupan manusia agung Rasulullah s.a.w di dalam kehidupan sehariannya yang patut dicontohi dan diambil iktibar. Sabda Rasulullah s.a.w :

"Siapa yang berbuat baik (memberikan kasih sayang) kepada anak yatim lelaki dan perempuan, adalah aku dan dia di dalam syurga seperti dua ini (ditunjukkan dua jarinya yang dirapatkan)."

(HR Al Hakim)

Rasulullah apabila bersama isterinya, dia berwatak suami yang baik, apabila bersama sahabatnya, dia berwatak sahabat yang baik, apabila bersama anak-anak kecil dan mereka yang dibawahnya, dia berwatak ayah yang baik, apabila bersama tenteranya, dia berwatak panglima yang baik, apabila bersama masyarakatnya, dia berwatak pemimpin yang baik. Itulah Rasulullah s.a.w model untuk manusia sejagat.