Ilmu 020


Juga belum disiarkan. Cerpen pertama ditulis di sini dan dijadikan bahan bedah bengkel.



KITA CIPTA POTRET LAGI

Bintu Yusof





Dua belas jam aku di dalam perut pesawat, sedikitpun tidak terlena. Masakan mahu terlena sedang hati penuh debar. Seribu satu gambaran mengasak fikiran. Lima tahun terpisah dari tanah tumpah darah kini aku kembali.


Aku yang keluar dari perut Boieng 747 hari itu bagaikan seorang bayi yang baru keluar dari perut ibu. Bermulalah lagi sebuah episod baru dalam hidupku. Ustaz Rasyidi bin Haji Yahya. Serban yang terlilit entah kenapa hari ini cukup memberat di kepala. Kukumpul seluruh tenaga, pusatkan kudrat yang ada namun kolam air mata pecah jua… Aku kalah! Masakan mampuku bertahan manatap wajah ibu dihias garis-garis tua bersama cengkung wajah ayah dimamah usia. Oh ayah…


Ku toleh pada wajah bujur sirih Suraya, adik perempuanku. Sudah besar rupanya.Begitu juga dengan adik-adik yang lain.Pak Long, Mak Long, Pak Ngah Salim dan Ucu, semuanya kelihatan terharu. Kepada Pak Long dan Mak Long, segera kusampaikan salam dari Norman.Dia sihat.








Jumaat 13 Disember 2000




Buat tatapan sepupuku Norman,

Man, hari ini sudah tiga bulan aku menikmati iklim khatulistiwa. Tentunya dirimu di saat ini bermujahadah melawan dinginnya syita’. Sebelum pergi lebih jauh, maaf kupinta. Baru hari ini tangan ini mahu menari mencoret bicara buatmu.Kau bukan tak tahu, meskipun penulisan memang aku minati tapi kena tunggu musim juga. Bila idea sudah mencurah, tak kira di mana kulepaskan jua.

Tentang ayah dan ibumu, alhamdulillah mereka sihat. Syukurlah, siang malam masih mampu membilang langkah ke masjid. Sebetulnya Man, sejak kampung Tanjung Puri ini aku huni kembali, ibumu tidak pernah berhenti menjadikan aku lawan bicaranya. Dia bercerita dan minta aku bercerita. Betapa ibumu menghitung hari-hari bahagianya membesarkan kau anak lelaki tunggalnya. Akulah tempat melepas rindunya padamu. Jadilah aku penghikayat seribu satu malam pada hikayat seorang anak yang berkelana. Tapi kau jangan bimbang Man, aku cerita yang baik-baik saja…








“Cuba Di tengok gambar ni. Norman menang hari tu” Ujar Mak Long sambil tangan kanan menghulur album biru laut milik Norman.


Kutatap wajah jernih memegang bungkusan besar hadiah tertera

“ Pemidato Terbaik Peringkat Negeri Kelantan”. Kuukir senyum sebagai respon kepada Mak Long yang sudah berbuih mulut bercerita tentang Norman dari kecilnya hingga dewasa. Mak Long seolah-olah lupa, sedang aku adalah antara insan terhampir dengan Norman kala itu.Tapi biarlah…biarlah Mak Long mengimbas kembali siru-siri kejayaan dan segala kenangan manis yang terukir. Biarlah….




Album biru itu kubelek perlahan-lahan. Cuba menunjuk minat pada Mak Long. Bosan dan cemuh kulempar jauh-jauh. Jiwa ibunya cuba kuselami dan jaga.Jiwa ibu yang terpisah jauh dari anak tersayang.Tapi jiwa aku?? Hanya Tuhan yang tahu.


Sebetulnya setiap kali pujian Mak Long pada Norman menerobos lubang telinga setiap kali itulah kerongkongku menelan air liur.Bila mana Mak Long bercerita hebatnya Norman, aktif menyertai program-progam dakwah, khemah ibadah, pemidato terbaik, johan qari, aku hanya mampu tersenyum manis di luar tapi pahit di kerongkong. Man…kalaulah kau mendengar apa yang aku dengar…..


Mataku tiba-tiba terpaku pada satu potret. Dua orang kanak-kanak lelaki berjubah hijau dengan kopiah putih di kepala. Segak.Gambar yang menyimpan sejuta makna buat diriku. Perasaanku terhenyak.Hiba mula menguasai diri. Mak Long dapat mengesan mataku yang berkaca.


“Sehingga hari ini Mak Long bersyukur, tidak sia-sia kami menghantar kamu dan Norman ke Tadika Al-Arqam dulu. Semua orang kampung tahu kamu berdua budak baik, hormat orang tua, suka tolong orang, rajin dan pandai mengaji”


Benar, di situlah benih cintakan Islam tertanam di hati. Keimanan bersemi.Sejak kecil lagi aku dan Norman punya banyak persamaan. Roh perjuangan mula mengalir dalam

diri kami hasil tarbiah berkesan jemaah Al-Arqam sebelum ia diharamkan.




4 Januari 20001

Kampung Tanjung Puri




Man,

Sejak kecil kita dua sejoli. Dan aku tahu, dalam tempoh tiga empat tahun kebelakangan ini, aku banyak berkasar denganmu.Kau sudah banyak berubah Man. Setiap hari aku merasakan dirimu makin menjauh. Kau pun tahukan.

Meskipun begitu, sehingga hari ini aku tidak pernah melepaskan diriku dari kandang pesalah. Aku gagal menjagamu, orang yang aku sayangi.Tapi kau sendiri tidak pernah menyayangi dirimu…kau biarkan arus dunia menghanyutkan, kau relakan para syaitan mentertawakanmu. Kita ke Mesir untuk menjejaki Musa, bukannya Firaun! Itulah kalam yang sering kuungkapkan, tapi kau tetap bertuhankan

nafsu….




Sudah berminggu aku menadah telinga mendengar sungutan dan keluhan Mak Long tentang anak bongsunya, Norita. Terlalu kerap keluar dengan lelaki, bergayut di telefon, chatting dan entah apa lagi. Cakap mak ayah langsung tak dengar.Ada juga sekali dua aku cuba menegur. STPM dah dekat, tapi siapalah aku nak marah-marahkan dia.


Kata Mak Long, kalau Norman ada tentu masalah ni dah lama selesai. Aku terdiam

menyembunyi sebak dan sedih. Kadang-kadang bila berdepan dengan masalah Norman, aku rasakan diri ini seorang perempuan. Tapi tak pula aku ceritakan pada

Mak Long bahawa abang Norita dan adiknya, hakikatnya dua kali lima!


Teringat aku pada Jumaat pertama aku di kampung. Tok Imam Salleh dengan senyum meleretnya menghulurkan teks khutbah padaku.Akulah khatib hari itu. Tangan yang terketar kusimpan di dalam poket. Makmum yang mendengar kubayangkan budak-budak hingusan yang tidak mengerti apa-apa. Alhamdulillah, akhirnya berjaya juga kulepasi ujian hari itu. Kalau tidak kerana latihan pegang mikrofon di rumah Kelantan rasanya sudah lama aku pitam. Ayah kulihat tak henti-henti tersenyum. Bangga. Jemaah berpusu-pusu bersalaman denganku dan bertahniah dengan ayah.


Perlahan kuhampiri Pak Long yang bersandar di tiang masjid. Matanya berkaca. Tangannya kupegang erat. Gerak hatinya mampu kubaca. Tiada lain di kotak fikirannya melainkan susuk tubuh anaknya, berjubah putih melaungkan suara kebenaran di mimbar itu! Dan di kotak fikiranku pula, tiada lain melainkan Norman dengan jeansnya yang menjauh dan terasing. Liat dan hilang minat bertalaqqi, enggan menghadiri tafakkuh. Kedekut komitmennya kepada persatuan.


Dan tatkala aku menggenggam tangan kasar Pak Long yang hangus dibakar mentari di petak sawah, mengenangkanku pada sikap Norman yang jarang ke kuliah. Man, kau langsung tak tabah menahan terik suria di bandar Husin sedang ayahmu kalih bermesra dengan mentari.






Malam Jumaat, 27 Febuari 20001




Norman sepupuku,

Man, aku tahu jiwamu tidak senang bila mana aku bersuara menegurmu.Banyak menjaga tepi kainmu.Tapi aku sepupu kau Man. Aku hargai tahan marah kau padaku. Tapi dengan Mak Long segala perilaku burukmu aku diamkan. Bukan kerana aku redha dengan sikap kurang ajar kau pada amanah ini dan bukan juga aku merelakan sikap egomu dengan Tuhan. Tapi ketahuilah, mata tua

ibumu tidak sanggup untukku tentang




Man,

Hari itu titisan mata ayah bonda mengiringi permulaan perjuangan ini. Untuk apakah manik-manik suci itu mengalir dari kelopak mata tua mereka? Adakah kau menyangka nostalgia sedih itu hanya sebuah drama pilu cuma? Lanntaran kau bebas ketawa ria bila mana drama pilu itu melabuhkan tirainya.


Pernahkah kau berada dalam diri seorang ibu yang menangis redha lantaran berjauhan dari anak kerana ilmu? Halusilah jiwa ayahmu, yang menitis air mata terharu, lantaran bakal lahir dari zuriatnya, seorang ulama’.


Man,

Jangan diingat hari itu sekadar sandiwara pilu cuma yang sudah pun melabuhkan tirainya. Tatkala dirimu berdepan dengan ujian di bumi sana, jangan difikir tangggungjawabmu selesai dan pementasannya sudah pun berakhir. Usah kau jual murah pengorbanan mereka yang telah berkorban. Tergamak kau ketawa ria, ketawa dan ketawa meskipun mereka berduka. Mana tahu, air mata hari itu belum berakhir lagi alirannya dan keringat hari itu masih bersambung tuitisannya…sedang hati-hati masih berbunga harapannya…membukit dan menggunung…mengertilah!










3 Januari 2002 Jumaat,






Aku sudah tidak tahu apa hendak jadi dengan Norman. Sudah setahun tidak mengirim khabar berita.Telefon pun tidak. Sedang Pak Long dan Mak Long terus meniti bilah-bilah hari menggalas beban rindu yang mengasak. Aku juga yang resah.


Sembahyang hajat usah dicerita. Aku dan Norman bagai jasad yang satu.

Kalau apa-apa terjadi pada Norman mungkin aku mampu akur dan pasrah. Tapi Satumacam mana dengan Pak Long dan Mak Long? Satu persoalan yang sukar untuk kujawab.


Untuk yang kesekian kalinya kucuba hubungi sahabat-sahabat yang lain melalui email. Setakat ini tiada sebarang berita yang memuaskan hatiku. Yang ada, ustaz Nordin yang mengatakan sudah lama Norman tidak nampak muka di Kaherah. Tambah mengggusarkan.


Menyemak pada kotak senarai pengirim, kudapati ada pengirim baru yang bertamu.

Jari telunjuk pantas bertindak menekan tetikus.




ssAssalamualaikum,


Menemui Rasyidi sepupuku,


Pertamanya maaf kupohonkan kerana terlalu lama menyepi setelah aku berazam untuk tidak mengutusimu sehingga aku benar-benar berubah. Sesungguhnya bait-bait bicara yang kau susun selama ini adalah wasilah hidayah Tihan padaku. Mata

penamu lebih tajam dan berbisa dari lisanmu. Aku mula tahu malu pada diri….


Khabarkanlah kepada seisi keluaraga, tunggulah aku di Lapangan Terbang Sultan Ismail Pengkalan Chepa hari Jumaat, 23 Mac 2002 jam 11 pagi.

Dan buatmu, jangan lupa kenakan jubah hijau, aku mahu mencipta potret lagi…..


Salam ikhlas,

Norman, Kaherah Mesir.








































--------------------------------------------------------------------------------

MSN Photos is the easiest way to share and print your photos: Click Here

Tersiar dalam Suara Kampus Edisi Kelantan, Mac 2002


MUTIARA KUNDUZ



Lelaki tua yang membimbit plastik berisi beras dan gandum tidak sudi mengukir senyum apabila lensa kameraku memfokus susuk tubuh uzurnya Seakan tidak senang dengan tindakanku atau mungkin aku jurugambar keempat puluh menekan punat kamera di depannya. Atau hari ini kuntuman senyuman sukar diukir lantaran duka terbeban cukup berat.

Aku mencelah memotong barisan manusia yang setia menanti di bawah terik suria. Masing-masing menggenggam kupon bantuan makanan dengan hati menaruh harapan, sebentar lagi dapur mereka kembali berasap. Sebentar lagi perut anak isteri dapat diisi dan si kecil mereka akan dapat tidur lena.

Aku meninjau posisi terbaik. Cuba mendapatkan panorama paling menarik bakal mengisi dada akhbar Wadah dan pastinya bos akan memujiku lagi. Setelah tiga hari di kem pelarian Cammon, empat hari di Jalozai, kini aku di Shamsatto, mengikuti kerja-kerja pembahagian bantuan oleh Misi Keamanan Sejagat Malaysia (MKS) di persempadanan Afghanistan-Pakistan. Sama seperti di kem-kem lain, aku bagai di alam baru. Sebuah kehidupan jauh berbeza dari duniaku. Khemah-khemah usang didirikan dan dihuni ratusan ribu manusia aneh. Kebanyakannya adalah orang tua, wanita dan kanak-kanak.

"Sampaikanlah dengan benar tentang apa yang terjadi. Kelak kamu akan disoal." Suara halus menerobos telinga memancung lamunanku. Aku berpaling mencari suara itu.

"Menulislah yang benar sahaja." Suara tadi diulang, aku masih tertoleh-toleh mencari. Koerneaku singgah pada seorang perempuan yang tercegat di sisi lelaki tua berpakaian lusuh dan bertongkat. Gadis ini antara ribuan wanita Afghanistan yang terselindung di sebalik burqa. Ini satu peluang baik! Bagiku mereka adalah wanita misteri. Burqa yang tersarung kupandang bagaikan satu alam lain yang belum pernah kuselami. Aku membetuli letak topi dan kedudukan cermin mata sebelum merapati mereka. Dia tunduk. Lelaki tua di sebelahnya menghulur tangan. Kami berjabat erat.

"Dari mana?"

" Malaysia" Lelaki itu mengangguk.

"Saya Ammar, wartawan akhbar utama negara kami. Saya tiba di Islamabad Jumaat lepas."

"Begitu…." Moustafa, lelaki tua itu angguk lagi.

"Sepanjang saya di sini, anak pak cik wanita Afghan pertama berani menegur saya!" Aku meluah kekaguman di kala ekor mataku menjeling si gadis.

" Oh, maafkan Hannan tuan. Cucu saya ini mewarisi sifat-sifat wanita Ansar yang pernah dipuji Rasulullah saw yang tetap berani menyuarakan kebenaran." Ujarnya sambil menguntum senyum bangga di wajah tenang. Hannan? Wanita Ansar?

"Maafkan saya tuan." Hannan kembali bersuara setelah lama membisu.

"Panggil saja saya Ammar."

"Saya tidak menyimpan apapun prasangka buruk terhadap tuan. Saya cuma memberi peringatan. Bukankah peringatan itu berguna bagi setiap mukmin?" Suara merdu itu menusuk atma.

"Hakikatnya berdekad sudah kami menjadi mangsa media Barat yang mewarna dan mencorakkan hidup kami di mata dunia sesuka hati. Saya tahu awak muslim dan awak saudara kami. Awak adalah duta umat Islam di seluruh dunia. Kenalilah kami dengan mata kepala sendiri dan khabarkanlah kepada dunia apa yang benar tentang kami." Aku? Apa yang aku nampak sekarang? Selain daripada percaturan politik negara yang kacau, aku hanya nampak kemiskinan, kemelaratan, kebuluran dan kepayahan.

"Pandanglah dengan mata hati hakiki. Timbanglah dengan neraca Al-Quran dan as-Sunnah" Al-Quran? As-Sunnah? Betapa lama aku tidak menyentuh al-Quran. Kali terakhir, sewaktu membacakan Yaasin di depan jenazah emak beberapa tahun dulu.

"Bagaimana saudari tahu berbahasa Inggeris?" Soalku penuh minat.Bahasa penghalang utama untukku berkomunikasi dengan responden wanita dari bangsa ini.

"Bertakwalah kamu nescaya Allah mengajarkanmu. Menulislah dari hati, nescaya sampai ke hati." Ah, aneh sungguh gadis ini.


II

Hari-hari seterusnya di Shamsatto, inkuiri mendesakku untuk mendampingi keanehan ini. Mujur khemah Moustofa sudi menyambutku sebagai tamu tetap. Keramahannya memudahkan kerja-kerja kewartawanan, tetapi ia belum memadai. Lelaki tua itu selalu sakitt dan perlukan rehat. Malah, dalam meniti hari-hari senjanya, tentulah dia inginkan masa lebih bersama Tuhannya. Aku perlu mencari gadis aneh itu tetapi aku tidak yakin lelaki-lelaki Afghan membenarkan aku menghampiri khemahnya.

Seawal dhuha, aku menapak ke tapak pembahagian makanan kalau-kalau jodoh kami kali pertama dahulu berulang. Mataku menjalar ke jihat barat, di klinik perubatan wanita dan kanak-kanak yang diubahsuai daripada dua buah kontena. Memang ramai wanita di situ tetapi aku semabur untuk mengesan kehadirannya kerana semuanya sama di sebalik burqa. Mataku singgah pada sekelompok besar kanak-kanak yang membentuk semi bulatan di bawah bebayang pohon. Di hadapannya bersimpuh seorang gadis sedang mengajarkan mereka sesuatu. Burqa ungu muda itu mengingatkanku pada seseorang. Ya, Hannan mengenakannya bersama suit punjabi ungu gelap tempoh hari!

Aku melemparkan salam meskipun tahu ia mengganggu. Salam bersahut serentak dan semua mata memandangku dari atas ke bawah penuh hairan. Ah, mungkin rupa paras dan susuk tubuhku yang asing menarik perhatian kanak-kanak ini.

"Apa yang kau ajarkan pada mereka?" Kuukir senyum semesra mungkin. Hatiku berbunga.

"Aku bentangkan kisah Muhajirin dan Ansar serta perpaduan akidah menjadi sebab kemenangan mereka. Kuajarkan mereka erti kesatuan fikrah dan amal. Juga siri-siri kemenangan penolong agama Allah." Suara Hannan lancar.

Aku mengambil tempat di celah-celah anak-anak itu . Bersila persis mereka yang berusia tujuh tahun. "Anak-anak ini semuanya berasal daripada suku-suku berbeza. Di kem ini, kami berpeluang bersama dan aku mengambil peluang ini menanam semangat persaudaraan. Aku ingin mendidik jiwa-jiwa ini tidak membezakan antara Pashtun, Tajik, Uzbek dan suku-suku lain."

"Kakak, kenapa bangsa dan negara Islam lain di seluruh dunia tidak mahu bersama kita seperti Muhajirin dan Ansar? Mereka saudara kita jugakan?" Mohamed di sebelahku bersuara. Redup ruang matanya menggambarkan keikhlasan hati. Hannan menoleh ke arahku seakan mengarahkan lontaran persoalan itu ke mukaku. Aku terpegun.

"Negara-negara Islam banyak menghulurkan bantuan bekalan makanan, pakaian dan ubat-ubatan seperti di kem ini." Ujarku sambil mengusap-usap bahu Mohamed yang tunduk merenung pepasir. Dahinya berkerut dan membiarkan kopiah lusuh lekat senget.

"Abang tidak mahukah berjuang sebarisan bersama ayah dan abang kami di kampung saya?" Aku terpempan. Aku menoleh ke arah Hannan dengan harapan kali ini dia menolongku. Hannan cuma membatu….


III


"Datukku tidak sihat. Dia meminta kau ambilkan makanan untuknya." Tanpa banyak soal, aku mengambil kupon makanan yang dihulurkan.

"Kau tidak mengajar hari ini?"

"Baru sahaja selesai."

"Tetapi kenapa tidak nampak?" Aku kehairanan kerana sudah dua jam lebih aku menunggu mereka di tempat semalam.

"Oh, kami berada di khemah besar. Hari ini Mohamed demam. Dia kesejukan di luar." Tuturnya penuh susila. Sungguh, aku bagaikan sebahagian anak-anak itu. Terasa rugi benar terlepas pengajian dengan gadis ini.

"Hari ini aku mengajarkan mereka sejarah."

"Sejarah?" Setiap patah kalimah dari bibirnya mengetuk pintu hati. Benih kesedaran tertanam di sukma.

"Ya, tentang zaman kegemilangan kami sewaktu bangkit berjihad menentang Soviet. Dulu bangsa kami tidak begini. Tidak ada sentimen berbangga dengan suku masing-masing. Kami hidup rukun damai. Bagaimanapun, autokrat komunis telah memisahkan kami dan kami menempuhi perang saudara yang berlanjutan." Aku mendiamkan diri. Rutinnya selepas halaqah, kami berbincang panjang. Kami juga sering berpapasan dan aku enggan melepaskan peluang mencedok hikmah berharga.

"Aku mengajak mereka menghayati sejarah kemenangan umat di dalam Perang Salib di bawah pimpinan Salahuddin Al-Ayubi. Aku ingatkan mereka agar waspada terhadap tipuan dunia. Disebabkan pengaruh dunia mekar dalam nubari umat Islam, maka Allah membenarkan kemenangan tentera Mongol ke atas empayar Abbasiyah." Tidak terlintas di fikiranku menemui mutiara di sahrawi gersang. Jiwa mereka subur dengan iman, mekar dengan amal. Ilmu itu cahaya dan hikmah itu harta. Hannan menghikayatkan kehidupan murni di kampung Qalai Qul, mengimbau kegemilangan Mazar-I-Sharif dan membawa aku jauh melepasi empat ratus meter persegi kawasan kem. Malah, lebih jauh daripada itu, nun di akhirat sana! Sungguh Tuhan, kau takdirkan hidayah menerusi lisan gadis gurun ini.

"Aku tidak nafikan kesilapan kami mengambil kira perbezaan etnik. Tetapi aku lebih kecewa dengan umat seluruhnya. Mereka hanya berminat dengan percaturan politik kami, bijak berkata-kata dan segala-galanya lenyap bersama keluhan simpati."

"Alangkah jahil mengikat janji setia dengan Yahudi yang sentiasa khianat!" Suara Hannah menyentakkanku. Aku tersipu-sipu kerana larut dalam khalayan.

"Kalau begini semangatmu, suatu hari nanti kalian akan bangkit sebagaimana Nagasaki dan Hiroshima bangun selepas bom cendawan Amerika."Aku menyuarakan interpretasi sendiri.

"Maaf, jangan sekali-kali samakan istisyhad kami dengan semangat buta kamikaze! Kami bergerak dengan panduan wahyu Tuhan. Berasas!" Letusan suara Hannan meninggi.

"Tetapi bukankah mereka dibakar atom selepas melancarkan serangan berani mati ke atas Pelabuhan Pearl Habour?" Aku membela diri.

"Jadi kamu menuduh kami melakukan keganasan itu?" Ada nada marah. Aku tersepa. Gadis yang berasal dari Kunduz ini boleh bertukar singa apabila menegakkan kebenaran.

"Ammar… aku tahu, wajah-wajah ini sinonim dengan keganasan, pelampau, ekstrimis dan militan bukan? Nampaknya kamu lebih percayakan tuduhan Barat berbanding saudaramu sendiri." Hannan melepas kesal.

Apa boleh aku buat? Selama ini dunia bergantung kepada media Barat untuk sumber berita internasional begini. Manalah aku sedar kalau Reuters mengamalkan hipokrasi. Mana aku reti kalau Cable News Network (CNN) memutar belitkan berita. Yang penting dada-dada akhbar kami disumbat warta sensasi sebegini. Selama ini tidak pernah terlintas di ruang fikiran bahawa di sebalik usahaku siang malam ini, ada pihak teraniaya dengan lumuran selut fitnah. Tuhan, berdosakah aku?

Aku menemui rakan sejawatan, Maslan dan Bukhari untuk menguzurkan diri daripada liputan di kem pelarian seterusnya. Aku ingin kekal di Shamsatto.

"Ini mesti kerana Hannan." Ujar Maslan separuh mengusik.

"Woi, kau jangan cipta skandal pulak Ammar! Nanti muka engkau pula yang masuk paper." Bukhari berseloroh menanti responku yang sugul sejak tadi. Ada sesuatu yang bersarang di kepala perlu aku bereskan.

Aku mengangkat punggung meninggalkan mereka meredahi pekat malam menghala ke khemah Moustafa. Tampak Hannan sedang memicit dahi datuknya.

"Kami wanita Afghan tidak pernah menganggap dapur sebagai tempat sumur dan kusam yang tiada nilai jihad padanya." Bidas Hannan sewaktu aku menyuarakan polemik kedudukan wanita Afghan.

"Kamu lihat Fatimah. Sudah lima tahun, setia terbongkok bersama mesin jahit usang menjahit pakaian tentera." Hannan mengingatkanku pada Fatimah dengan burqa yang lusuh dan seliparnya yang buruk.

"Mungkin dia hina dan capik pada pandangan manusia sepertimu. Aku yakin kemuliaannya di sisi Allah." Ujarnya tegar berbaur yakin. Moustafa sudah lama lena sementara Mohamed yang baru tiba berteleku kaku di sisi. Menaruh minat pada perbincangan yang kian hangat.

"Hannan, usahlah kau berselindung. Anggaplah aku saudaramu dan aku ikhlas menolongmu." Aku menarik nafas, bersedia menghulurkan bantuan. Aku sudah berfikir masak-masak.

"Semalam aku bertemu dan berbincang dengan Molia, Pengerusi Persatuan Revolusi Afghanistan (Rawa). Dia tidak berburqa. Aku berminat menulis artikel perjuangannya membebaskan wanita Afghan." Hannan terpana. Kenyataanku bak halilintar memetir tangkai jantung.

"Jadi selama ini kamu menyangka aku menyarung burqa kerana terpaksa?" Nada suaranya berubah.

"Molia telah menceritakan segala-galanya. Usahlah berselindung lagi. Kau malu mengaku bangsamu sendiri menindasmu, bukan?" Aku membidas Hannan yang masih lagi terkejut.

"Ammar! Memakai hijab hak asasi wanita Islam. Apalah gunanya laungan pembelaan, kebebasan dan hak-hak asasi wanita sekiranya dalam hal ini wanita tidak diberi hak sewajarnya?"

"Bagiku wanita pintar sepertimu tidak sepatutnya kaku dalam kepompong taksub bangsamu." Aku semakin berani.

"Tidak, tubuh kami perlu ditutup bukan sekadar dari panas dan sejuk. Kami perlu melindungi iman dan jiwa kami daripada segala fitnah dan ancaman." Suara Hannan bergetar di kerongkong digalang hiba.

"Aku tidak faham, mengapa kau harus pertahankan kejumudan bangsamu."

"Ammar, kau harus sedar realiti dunia hari ini menilai wanita berdasarkan rupa paras, fesyen rambut dan pakaian, barang kemas dan alat solek sahaja. Tetapi dengan menutup aurat, orang lain tidak berpeluang menilai peribadiku berdasarkan rupa paras semata-mata!" Aku menggeleng.

"Hannan, mengakulah. Kau tertindas dan takut mencipta perubahan."

"Subhanallah, siapa kata kami tertindas? Kami benar-benar merdeka. Lepas dan bebas dari kongkongan industri fesyen dan sebarang industri lain yang memperalatkan wanita. Sekurang-kurangnya dengan secebis kain ini, wujud satu garis pemisah antara aku dengan golongan berniat jahat terhadapku."

"Aku tidak nampak kebebasan itu. Mustahil kau akan dapat mengecapi nikmat kehidupan andai kau berterusan begini."

"Hinakah wanita sehingga layak dipamer sebagai bahan iklan sebaris dengan barang-barang jualan? Dieksploitasi golongan berkepentingan. Kebebasan apa kalau wanita tidak bebas bergerak kerana menjadi tontonan lelaki?" Soal Hannan bertubi-tubi. Suasana semakin tegang. Tasik ketenangan berkocak.

"Hannan, aku mengagumi duniamu tetapi tidak dalam hal ini. Aku menyerumu untuk bersama aku dan Molia membetulkan kembali fahaman serong ini." Itulah hasratku. Aku tahu dia tersinggung tapi bukan niatku munyucuh api sengketa mahupun telagah. Sungguh aku tidak senang dengan keadaannya sekarang.

"Aku tidak tahu apa lagi yang hendak dikatakan, Ammar. Aku sedar betapa jijik dan hinanya kami pada pandangan dunia. Mereka sengaja memandai-mandai kononnya mewakili hati dan perasaan kami yang dikatakan tertekan dan tertindas di sebalik secebis kain ini. Janganlah kau turut dipedaya oleh segelintir daripada kami yang terpesona dengan warna-warni tipu-daya Barat."

Hannan tunduk diam seketika sebelum menyambung. Pandangannya ditebar jauh ke pekat malam. "Sungguh kami puas mengemudikan kehidupan ini. Kami bersyukur kerana tidak perlu menyiksa diri menjadi hamba kepada manusia dan dunia."

"Ah, itu semua tindakan bodoh!" Aku mula melulu dalam kata-kata. Hilang segala rasa segan terhadap persahabatan ini. Hannan tersentak bingkas meninggalkanku. Barangkali ingin bersendirian merawat hati yang dilukai. Pelik, gadis cekal ini berubah watak. Getas diasak emosi. Sebelum hilang ditelan pekat malam ditemani Mohamed, Hannan menghentikan langkah di pintu khemah lalu bersuara memohon sesuatu.

"Jika kau berjumpa aku lagi, aku pohon janganlah kau lihat aku dengan pandangan simpati. Jangan simpati denganku dan para wanita kami kerana tiada siapa yang menindas atau menjadikan kami tawanan. Kami tidak pernah menagih simpati sesiapa. Cukuplah Allah dan Rasul itu keizzahan dan kemuliaan bagi kami." Ada getar di hujung suara.


IV


Mazlan dan Bukhari sudah lama menunggu di dalam land rover. Aku mesti ke Peshawar tetapi hati cukup sukar meninggalkan Shamsatto tanpa mendengar lafaz maaf dari mulut Hannan. Selepas peristiwa malam itu, Hannan tidak lagi kutemui. Merajukkah dia? Ah, aku juga diselubungi resah! Lebih-lebih lagi apabila kalamnya berjaya mengetuk pintu hati ini. Syukur pada Tuhan yang tidak mensia-siakan munajatku mohon ditunjukkan kebenaran. Seperti yang sudah aku katakan, hidayah ditakdirkan melalui lidah Hannan!

"Hai, rindu ke?" Bukhari mengusik, sambil menepuk bahuku. Aku berlegar-legar di kem perubatan. Tiada langsung kelibatnya. Ah, mungkin di khemah besar bersama kanak-kanak itu. Tetapi menurut Mohamed, hari ini halaqah mereka ditunda. Dia sendiri tidak tahu di mana Hannan. Atau dia di khemah merah, menolong menguruskan sekolah sementara? Tidak, mustahil kerana semua guru di situ lelaki. Aku tiba di perdu pohon tempat rutin kanak-kanak itu berkumpul. Ah, mengapa aku rasakan aku harus menemuinya juga di saat ini? Sekadar rasa bersalah kerana peristiwa malam itu atau cinta mula terpercik? Namun yang pasti, kesilapan besarku pada malam itu; di saat kau dambakan sokongan dan bimbingan, aku mengajak kau mengkhianati perjuangan! Aduhai Hannanku, maafkan wartawan cabuk bodoh seperti aku ini. Aku menapak ke lokasi pembahagian bantuan.

"Alah, Jumaat nanti boleh datang balik." Rungut Bukhairi, mula berasa bosan.

"Ammar, surat!" Laungan Bukhari mencuri konsentrasiku yang sedang berkira-kira tanda mata apakah yang paling sesuai aku belikan di Peshawar ini khusus buat Hannan. Hannan, aku ingin membawamu bersama mengejar pelangi di bawah pancaran indah warna sari suria.

Surat bersampul putih susu beralih tangan. Debaran kencang memaksaku menarik segera isinya.



Ammar,

Peristiwa malam itu usah digusarkan. Aku sudah maafkan. Aku sendiri tidak tahu mengapa hati mudah terusik apabila kalam itu keluar dari bibirmu. Kau tahu, selepas sehari peninggalanmu, kem Shamsatto sekali lagi dirudung mendung. Kami semua solat jenazah di tanah lapang, menghantar pemergian pahlawan yang banyak menabur jasa, mantan komander Jeneral Moustafa Ahmed. Siapa sangka datukku senasib dengan Saifullah Khalid al-Walid. Ajalnya ditakdirkan di pembaringan.

Hampir dua bulan aku melaksanakan amanah ayah menjaga datuk, kini Allah mengangkatnya daripadaku. Akhirnya aku membuat keputusan nekad.

Mungkin ketika kau menatap kalam bisu ini, aku sudah melewati perbatasan. Shamsatto, sudah aku tinggalkan. Aku akan meneruskan cita-citaku, impian datuk juga harapan umat ini. Perjuangan ini akan terus berantaian sebagaimana Mohamed berjanji menyusuliku apabila tiba masanya nanti. Ammar, Terima kasih kerana sudi hadir dalam dunia kelam dan berdebu. Aku hargai ikhlasmu ingin menemani hayatku menghadapi ribut sahrawi. Akanku cuba tabahkan hati perempuan ini. Wahai mata, usahlah menangis hanya kerana makhluk sekerdil ini kerana ia hanyalah pepasir, bukannya kerikil! Aku sedar, hatimu dirobek gerun tatkala menonton perjalananku yang dilambatkan jerlus pepasir.

Aku berada di dalam malam gelita tetapi aku rela. Biarlah aku damai dalam kengerian kegelapan ini andainya di sini aku temui Tuhanku. Aku tidak sekali-kali mendambakan siang bertamu kerana belum tentu aku berjaya menilai warna-warni suria. Alamnya menyinar, menyerlah lantas memukau. Dan yang paling ditakuti, menipu!

Suara hatiku membenarkan kehadiran getaran jiwa antara kita. Tapi ada hakikat yang harus kita akui bersama; dunia kita berbeza. Lagipun aku takut cinta ini mengaburkan aku daripada cinta hakiki. Lantas biarlah aku memilih bermandi peluru, bermesra dengan ulitan mortar bersama bapaku dan pejuang-pejuang. Aku tidak tahu sampai bilakah bangsaku terus-terusan menjadi korban media. Harapanku agar sekurang-kurangnya kau tampil berjuang dengan senjata penamu. Dan ketahuilah, di mana kau berada, gadis sahrawi ini mendambakan setangkai doa darimu.

Hannan Fouad,

Kunduz



Aku tersandar menahan sebak di dada kusyen. Dan aku sendiri, adakah akan ditipu warna-warni suria buat kali kedua?







--------------------------------------------------------------------------------

Join the world’s largest e-mail service with MSN Hotmail. Click Here