ilmu 021

HIJRAH: Satu Paradigma Kehidupan






"Sesungguhnya aku berhijrah kepada Tuhan-ku." (Al-Ankabut 26).

"Hari ini lebih baik dari semalam, esok lebih baik dari hari ini". Prinsip dan cita-cita ini perlu menjadi pegangan semua umat Islam. Untuk tercapai cita-cita tersebut perlulah diusahakan bersungguh hingga menjadi kenyataan.

Rasulullah SAW diperintahkan oleh Allah SWT berhijrah dari Mekah ke Madinah. Penghijrahan itu berlaku ketika ruang perjuangan Rasulullah SAW sudah terlalu sempit dan terhimpit. Beliau tidak memilih untuk berdoa meminta kelapangan yang sudah tentu Allah SWT kabulkan. Sebaliknya terpaksa menempuh laluan sukar, merbahaya dan berisiko tinggi kerana diburu oleh musuh. Melalui perintah hijrah tersebut Rasulullah SAW terpaksa berusaha merancang dan bertindak.

Rasulullah SAW, kekasih Allah SWT turut menempuh jalan sukar dalam mencapai suatu keadaan yang lebih baik. Turut mencari ruang yang memungkinkan boleh mencapai kejayaan. Maka Madinah merupakan tempat yang lebih baik untuk terus melancarkan lagi perjuangan beliau.

Penghijrahan seumpama Rasulullah SAW dan para sahabat itu tidak berlaku lagi kepada umat Islam selepas beliau. Namun konsep penghijrahan itu yang tetap berterusan di kalangan umat Islam. Ertinya tiada lagi hijrah kecuali dari kejahatan kepada kebaikan dan dari kebaikan kepada yang lebih baik lagi. Dari kejahilan kepada ilmu dan dari kerendahan ilmu kepada ketinggian ilmu. Hijrah dari kemunduran kepada maju dan seterusnya.

Umat Islam perlu sentiasa muhasabah diri dan memperbaiki keadaan dari masa ke semasa. Usaha membaiki keadaan kehidupan berterusan ertinya menghayati pengertian hijrah. Sebagai menepati konsep hijrah Rasulullah SAW, pastinya terpaksa dilakukan bersungguh-sungguh dan mesti sanggup menempuh jalan penuh risiko. Tiada jalan mudah untuk meraih kejayaan sama ada di dunia mahupun akhirat.

Antara aspek penting yang perlu mengalami proses hijrah berterusan adalah seperti berikut.

Pertama: Hijrah iman

Iman para sahabat tidak pernah surut malah sentiasa bertambah. Selain para Rasul, imannya boleh berkurang atau lemah dan boleh kuat atau meningkat. Lebih-lebih lagi bagi umat di akhir zaman ini yang penuh cabaran. Daya tarikan ke arah susutnya iman terlalu kuat.

Kita perlu mempertingkatkan iman melalui usaha membersihkan sifat-sifat keji (mazmumah) dan melazimkan pula memakai sifat-sifat terpuji (mahmudah). Dengan itu hati akan disinar cahaya yang akan dapat melihat kebesaran dan keAgungan Allah SWT.

Peningkatan iman juga perlu dibuat melalui banyak berfikir mengenai kejadian alam semesta, kejadian diri serta alam akhirat. Hati akan merasa takut dan gentar kepada Allah SWT.

Sembahyang merupakan mikraj orang mukmin. Oleh itu perlu dihayati secara sempurna dan diperbanyakkan sembahyang sunat. Para sahabat mendirikan sembahyang sunat sehari semalam purata tiga ratus rakaat. Dan itu dilakukan di tengah-tengah kesibukan berbagai urusan umat.

Keazaman yang jitu hendaklah dibuat agar berlaku hijrah iman dari peringkat iman taqlid (iman ikut-ikutan) kepada iman ilmu (iman yang berasaskan ilmu), kemudian kepada iman 'ayan (iman yang telah bertunjang di hati sanubari) dan seterusnya kepada peringkat iman haq dan haqiqah. Biar pun agak mustahil mencapai iman haqiqah (iman nabi-nabi dan rasul) namun setidak-tidaknya mencapai iman 'ayan (iman orang soleh) yang bakal terjamin selamat dunia dan akhirat.

Kedua: Hijrah ilmu.

"Ilmu itu cahaya, jahil itu merbahaya." Rangkai kata indah ini mempunyai pengertian yang mendalam. Bahaya kejahilan tidak perlu diungkap dengan kata-kata lagi. Semua telah mengakui dan telah terbukti betapa kejahilan membawa berbagai natijah buruk kepada manusia.

Setiap mukallaf wajib menguasai ilmu fardhu ain. Ilmu fardhu ain termasuk hak asasi yang mesti dipenuhi oleh pemerintah. Ilmu fardhu ain ini sekiranya tidak dipenuhi maka berdosalah individu itu serta mereka yang bertanggungjawab ke atasnya. Dan perlu pula dikuasai seawal sebelum seseorang itu akil baligh. Setelah selesai ilmu fardhu ain maka dituntut pula menguasai ilmu fardhu kifayah. Ilmu fardhu kifayah mempunyai berbagai bidang dan tiada batasan untuk menguasainya.

Umat Islam boleh mencapai berbagai kejayaan andainya konsep hijrah ilmu dipraktikkan. Yakni terus menerus mempertingkatkan ilmu dari satu tahap ke tahap yang lebih tinggi dan mencapai tahap professional. Tidak ketinggalan juga pentingnya umat Islam menguasai general knowledge yang luas terutama di dalam soal politik, ekonomi, sosial dan kepimpinan.

Lemahnya daya fikir (mentaliti) umat ini ada hubungkaitnya dengan kelemahan dalam penguasaan ilmu dan pengetahuan. Lantaran itu maka umat Islam tidak berupaya mengatasi mainan dan tipu muslihat musuh. Malah tidak mampu menilai sesuatu budaya itu positif atau negatif. Tidak hairan apabila di kalangan remaja muslim mudah terjebak dengan berbagai unsur negatif dalam kehidupan.

Ketiga: Hijrah amal.

"Sebaik-baik amal ialah yang berkekalan biarpun sedikit," maksud dari hadis Rasulullah SAW. Tetapi sabda baginda itu bukan menganjurkan agar mengurangkan amal. Ia membawa pengertian perbandingan. Yakni amalan sedikit yang istiqamah itu lebih baik berbanding dengan amalan yang banyak tidak istiqamah. Tentulah maksudnya akan lebih baik lagi sekiranya amalan itu banyak beserta istiqamah.

Masa yang berlalu tidak akan kembali lagi.Masa yang mendatang sentiasa bertambah hampir. Oleh itu kita mestilah membuat "count down" terhadap usia kita menuju ajal. Dan tiada siapa tahu bila saatnya menemui ajal. Rasulullah SAW hanya memberi amaran melalui sabdanya yang bermaksud, "Ingat lima perkara sebelum datang lima perkara iaitu ketika muda sebelum datangnya tua, masa lapang sebelum datangnya sibuk, masa senang sebelum datang susah, masa sihat sebelum datang sakit, semasa hidup sebelum datangnya mati".

Peringatan Rasulullah SAW tersebut bagi mendorong umatnya selalu meningkatkan amalan kebajikan sebelum datangnya saat di mana tiada lagi peluang untuk beramal terutamanya apabila kedatangan ajal. Peningkatan amal ini wajar berlaku selaras dengan peningkatan usia.

Keempat: Hijrah nafsu.

Nafsu tidak boleh dibuang dari diri manusia. Manusia membiak, tamadun berkembang dan bumi semarak kerana manusia memiliki nafsu. Hanya yang ditegah ialah menurut saja nafsu taraf rendah atau nafsu serakah yang membawa keburukan kepada manusia.

Nafsu yang berjaya ditundukkan akan menjadi pemangkin utama kepada berbuat kebaikan. Keinginan taraf tinggi ialah menghasilkan banyak kebaikan kepada manusia.

Oleh itu umat perlu berhijrah dari nafsu ammarah kepada lawwamah dan seterusnya mulhimah, mutmainnah, radhiah, mardhiah dan kamilah.Untuk mencapai kejayaan menduduki nafsu taraf tinggi perlukan mujahadah yang berpanjangan. Tidak ada noktah dalam melawan nafsu ini kecuali ajal. Andainya gagal, insyaAllah tetap memperolehi habuan sebagai orang yang sedang dalam perjalanan menuju kebaikan.

Di zaman ini banyak kedapatan doktor beserta pusat rawatan kesihatan lahiriah. Hampir tidak ada langsung pusat rawatan batin atau rohaniah yang sentiasa dituntut oleh nafsu jahat. Tidak hairanlah maka wujudlah manusia yang sihat jasadnya tetapi sakit rohani. Manusia sembuh penyakit badan tetapi jiwa mereka parah. Sedangkan kerosakan pada jiwa itu membawa natijah lebih parah berbanding penyakit jasad. Porak peranda dunia ini dengan berbagai kegawatan adalah berpunca dari angkara manusia yang rosak jiwanya. Kerosakan jiwa atau rohani manusia itu pula berpunca dari kegagalan menundukkan nafsu.

Kelima: Hijrah akhlak.

Umat-umat terdahulu hingga ke masyarakat jahiliah mencapai tamadun tinggi tetapi rosak akhlak. Akhirnya mereka binasa. Kini dunia Barat juga berada pada situasi yang sama. Malangnya umat Islam yang rata-rata masih mundur sudah mengikut jejak langkah Barat di sudut akhlak.

Keruntuhan akhlak ini salah satu punca terjadinya kelemahan umat Islam. Unsur-unsur negatif Barat berleluasa di kalangan umat Islam. Umat Islam juga bertindak kasar dan ganas, saling rakus, hasad dengki, menghasut, tidak kasih sayang, perpaduan dan saling membantu.

Umat Islam sewajarnya berusaha berhijrah dari tabiat buruk kepada berakhlak mulia seperti yang dimiliki oleh Rasulullah SAW. Semenjak remaja lagi Rasulullah SAW sudah bergelar 'Al Amin' ertinya orang yang sangat dipercayai. Rasulullah SAW juga mengakui dalam sabdanya bermaksud; "Aku diutus untuk menyempurnakan akhlak yang mulia". Siti Aishah r.ha menyebut mengenai Rasulullah SAW sebagai "Akhlak Al Quran". Pada umumnya kehidupan para sahabat baginda adalah orang yang sangat berakhlak, bersopan ,bertertib, berbudi pekerti luhur, berdisiplin dan bertata susila dalam segala hal. Sama ada terhadap Allah SWT mahupun kepada manusia, hatta terhadap haiwan sekalipun.

Mereka terdiri daripada pemimpin yang adil, ulamak menjadi obor dan pembimbing, orang kayanya pemurah dan orang miskinnya sabar dan redha.

Selain dari perlunya berlaku penghijrahan seperti yang dinyatakan di atas secara ringkas umat Islam juga perlu melakukan hijrah dalam aspek sikap iaitu membuang yang negatif sebaliknya menyuburkan sikap positif. Mengikis sikap pesimis sebaliknya diganti dengan optimis.

Andainya kesukaran hidup menjadi gangguan untuk mentaati Allah SWT, maka perlu pula berusaha meningkatkan taraf hidup. Setiap yang melata di bumi Allah SWT telah sediakan rezeki baginya. Apatah lagi manusia yang Allah SWT kurniakan kelebihan akal yang dapat berusaha lebih sempurna dalam memburu rezeki tersebut.

Kemajuan dan pembangunan umat juga perlu sentiasa dikembangkan. Kalaupun tidak lebih sekurang-kurangnya setaraf dengan kemajuan bangsa-bangsa lain. Ini bertujuan agar umat ini benar-benar berdikari tanpa bersandar kepada orang lain.

Kegawatan ekonomi yang telah kita lalui hanya memberi pengalaman perit berkaitan dengan harga makanan impot. Dan pembekal makanan luar tidak menyekat sumber makanan. Hanya kosnya meningkat lantaran kejatuhan nilai ringgit. Bagaimana andainya mereka memusuhi kita dan menyekat bekalan makanan.Tentulah penderitaan Iraq dan Libya turut dialami oleh kita. Kita turut perlu berhijrah dari terlalu banyak bergantung kepada pihak luar ke arah lebih berdikari.





KEMBALI KE LAMAN TAZKIRAH









HOME PERKHIDMATAN E-BUSINESS ANTIK AMAL TAZKIRAH







mfadli@skybiz.com







HOME


PERKHIDMATAN


E-BUSINESS


ANTIK


AMAL


TAZKIRAH









TAZKIRAH HIJRAH





Hijrah kita bukan hijrah naik unta,

mencari tempat selamat untuk menyembah Tuhan.

Tetapi hijrah kita hijrah hati

ubah sikap dan baiki diri...

Bukan tempat jadi halangan untuk besarkan Tuhan,

tapi hati yang belum tertempa untuk jinak

dan bermanja dengan Penciptanya.

Hijrah kita tanpa unta,

tanpa perlu berjalan di tengah panas membara,

tanpa perlu takut dikejar musuh durjana,

tapi... Hijrah dari alam gelap ke alam cahaya.

Alam leka ke alam jaga.

Dari fantasi ke alam realiti.

Inilah kehidupan yang sementara

sebelum kita hadir ke alam hakiki yang kekal abadi.

Hijrahlah kita dari sikap tidak baik

kepada sikap yang baik.

Kerana terlalu banyak sikap tak baik

yang kita masih jaga dengan baik.

Di pejabat...

suami/isteri orang pun kita buat macam suami/isteri sendiri

usik sana usik sini

dah tak rasa berdosa lagi

orang Kedah kata dah "mangli"

Sedangkan malaikat tetap tidak peduli

sentiasa mencatit segala amal diri

yang mulia atau keji...

Suka buang masa pun perlu kita hindari

maklum saja zaman IT

dok chatting tak henti

guna komputer yang majikan bagi

soal amanah dah tolak tepi

dah tak ingat mati bila-bila boleh mari.

Hijrah ibarat berpindah ke rumah baru

Benda tak berguna jangan dibawa sama,

tinggalkan di tong sampah selayaknya.

Hanya yang baik-baik

dan yang berguna saja kita bawa.

Demikian penghijrahan diri yang sepatutnya.

sikap-sikap yang berserabut dan berdebu

buanglah jauh-jauh.

Suka merajuk, suka menunjuk, suka menyibuk,

suka menyampuk, suka mengamuk...

janganlah kita simpan lagi

perangai-perangai ini

macam memelihara barang antik

yang kita perasan cantik dan antik,

tapi orang lain rasa benci dan getik.

Mazmumah itu bagaikan penyakit kanser,

semakin dipendam semakin parah.

Kalau kita masih sayang

dan nak sehidup semati dengannya... apakan daya.

Tahun Baru Hijrah yang menjelma,

sambutlah dengan azam dan semangat baru...

dari yang tak baik berhijrahlah kepada yang baik.

Dari yang sudah baik, kepada yang lebih baik.

Minat mengumpul dan menyimpan sikap 'antik',

eloklah diganti dengan usaha memulihkan penyakit,

sebelum hijrah kita yang terakhir...

dari dunia yang fana' ini

ke Alam Baqa yang kekal abadi.

Waktu itu tiada "U-turn" untuk kita lagi!





KEMBALI KE LAMAN TAZKIRAH









HOME PERKHIDMATAN E-BUSINESS ANTIK AMAL TAZKIRAH







mfadli@skybiz.com







HOME


PERKHIDMATAN


E-BUSINESS


ANTIK


AMAL


TAZKIRAH


Jangan keliru mengenai ibadah





Allah SWT mencipta jin manusia hanya semata-mata untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT. Tiada tujuan lain. Kalau manusia terpesong dari tujuan asal mengapa manusia dijadikan, maka itu adalah percanggahan dari apa yang ditegaskan oleh Allah SWT melalui firmanNya yang bermaksud "Tidak aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk menyembahku" (Az-Zariyat: 56)

Perbuatan menyembah dan mengabdikan diri kepada Allah SWT itulah yang diistilahkan sebagai ibadah. Dengan erti kata yang lain melalui perintah itu, Allah SWT menuntut agar manusia sentiasa beribadah kepadaNya. Manusia tidak boleh sama sekali berbuat sesuatu dalam hidupnya kecuali untuk beribadah kepada Allah SWT. Manusia di larang daripada mencipta atau melencongkan kehidupan dari pengabdian itu.

Sesuatu pekerjaan atau perbuatan itu akan dinamakan ibadah sekiranya mendatangkan pahala. Tidak kiralah apa jenis pekerjaan atau perbuatan asalkan ada meritnya di Akhirat nanti maka itu dinamakan ibadah.

Ibadah itu ada dua jenis iaitu ibadah khusus dan ibadah umum. Sama ada ibadah khusus, lebih-lebih lagi ibadah umum tidak secara otomatik ada merit di Akhirat nanti apabila dilaksanakan. Merit sesuatu pekerjaan atau perbuatan itu bergantung kepada syarat-syaratnya yang secara otomatik akan berpahala sekiranya memenuhi syarat-syaratnya. Apa yang jelas ialah ibadah khusus sekalipun tidak mudah memperolehi pahala, apatah lagi ibadah umum.

1. Ibadah khusus.

Ini merupakan amalan sudah ditetapkan oleh Allah SWT atau ada syarat, peraturan, tertib dan sah batalnya. Ibadah khusus ini ada yang wajib dan ada yang sunat saja tarafnya. Rata-rata umat Islam telah maklum jenis amalan atau ibadah khusus ini seperti yang ada dalam rukun Islam ,wirid, zikir,membaca Al Quran, berdoa dan sebagainya

Ibadah khusus yang memang telah di syariatkan ini pun kadangkala tidak mendapat pahala. Mungkin syarat rukun dan sah batalnya telah terpenuhi namun andainya di celah oleh berbagai niat sampingan maka Allah SWT tidak beri pahala. Umpamanya sewaktu ibadah itu ada niat yang bercabang atau untuk tujuan duniawi, riya' atau menunjuk-nunjuk, kerana politik, kerana malu dan sebagainya.

2. Ibadah umum.

Ini termasuk sebahagiannya bertarafkan fardhu kifayah dan sebahagian yang hukum asalnya harus atau mubah sahaja. Ibadah umum ini skopnya sangat luas yang mencakupi atau merangkumi seluruh pekara yang berkaitan kehidupan manusia. Sebanyak mana keperluan manusia maka seluruhnya merupakan skop ibadah umum. Ertinya seluruh perkara berkaitan manusia itulah saluran mendapatkan pahala atau merit Akhiratnya.

Namun demikian merit Akhirat itu hanya tercapai apabila memenuhi 5 syarat. Tidak kiralah dibidang apa pun, sama ada tidur baring, gerak diam, terlangkup terlentang hatta menguap, kentut atau masuk tandas sekalipun akan menjadi ibadah. Apatah lagi terhadap persoalan yang lebih besar seperti pembangunan, kemajuan, ekonomi, sains dan teknologi, IT, pertanian, pendidikan, kesihatan, pemerintahan, penerangan, perhubungan dan lain-lain.

Lima syarat tersebut iaitu:

1. Niat mesti benar-benar kerana Allah SWT dan niat itu tidak berubah atau tidak terpesong sepanjang pekerjaan tersebut.

2. Perlaksanaan mesti mengikut syariat atau tidak boleh bercampur aduk dengan perlakuan mungkar dan maksiat.

3. Natijah mesti untuk kebaikan. Kalau hasil sesuatu pekerjaan itu mendatangkan mudarat atau haram maka tidak menjadi ibadah.

4. Pekerjaan yang tidak bercanggah dengan syariat yakni sekurang-kurang perkara harus atau mubah.

5. Dalam tempoh perlaksanaan pekerjaan tersebut tidak meninggalkan perkara pokok dari ajaran Islam (rukun Iman dan rukun Islam) dan yang bersangkutan dengan fardhu ain.

Tanpa menempuh lima syarat di atas janganlah sewenang-wenangnya mendakwa sesuatu perbuatan atau pekerjaan itu sebagai ibadah. Sebaliknya ia akan menjadi sia-sia sahaja tanpa sebarang nilai di sisi Allah SWT.







KEMBALI KE LAMAN TAZKIRAH









HOME PERKHIDMATAN PELUANG ANTIK AMAL TAZKIRAH







mfadli@skybiz.com








Amalan bertemu Ramadhan

Dari Anas r.a, bersabda Rasulullah SAW: "Tiada daripada seorang hamba apabila melihat sehari dari bulan Ramadhan (mengetahui tibanya Ramadhan atau nampak anak bulan Ramadhan) lantas dia memuji Allah (Alhamdu lillah, Hamdallah) semata-mata kerana kedatangan bulan rahmat dengan kelebihan dan keistimewaannya, kemudian dibacanya Al Fatihah tujuh kali, melainkan dia diselamatkan daripada sakit matanya pada bulan itu.

Sabda Rasulullah SAW kepada Sayidina Ali k.wj: Apabila engkau anak bulan Ramadhan (mengetahui tibanya Ramadhan) maka bacalah Allahu Akbar 3 kali, kemudian berdoalah, "Segala pujian bagi Allah yang telah menjadikan aku dan telah menjadikan engkau (Ramadhan), dan telah menentukan bagi engkau (Ramadhan) pangkat-pangkat (darjat), dan telah menjadikan engkau (Ramadhan) tanda kekuasaan bagi sekalian alam."

Nescaya Allah berbangga dengannya dan berfirman kepada Malaikat: "Hai malaikat, saksikanlah kamu bahawa Aku telah memerdekakan dia daripada api neraka!."

(atau boleh berdoa dengan: "Ya Allah, zahirlah Ramadhan atas kami dengan keamanan dan keimanan dengan keselamatan dan keIslaman, Tuhan ku dan Tuhan engkau)