ilmu 023

SAKINAH

219 Message: 11 Date: Fri, 24 Dec 1999 13:13:37 +0800 Zubaidah Haji Sulaiman Re: (no subject)

1. Dialah yang menurunkan ketenangan ke dalam hati orang-orang mukmin supaya keimanan mereka bertambah di samping keimanan mereka (yang telah ada). Dan kepunyaan Allahlah tentera langit dan bumi dan adalah Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. (Al-Fath, ayat 4.)

2. Kemudian Allah menurunkan ketenangan kepada Rasul-Nya dan kepada orang-orang yang beriman, dan Allah menurunkan bala tentera yang kamu tiada melihatnya, dan Allah menimpa bencana kepada orang-orang yang kafir dan demikianlah pembalasan kepada orang-orang yang kafir. (At-Taubah, ayat 26.)

3. Ketika orang-orang kafir menanamkan dalam hati mereka kesombongan jahiliah lalu Allah menurunkan ketenangan kepada Rasul-Nya dan kepada orang-orang mukmin dan Allah mewajibkan kepada mereka kalimah-takwa dan adalah mereka berhak dengan kalimah takwa itu dan patut memilikinya. Dan adalah Allah Maha Mengetahui segala sesuatu. (Al-Fath, ayat 26.)

4. Sesungguhnya Allah telah reda terhadap orang-orang mukmin ketika mereka berjanji setia kepadamu di bawah pohon, maka Allah mengetahui apa yang ada di dalam hati mereka lalu menurunkan ketenangan atas mereka dan memberi alasan kepada mereka dengan kemenangan yang dekat (waktunya). (Al- Fath, ayat 18.)


MESYUARAT YANG BERJAYA: PANDANGAN ISLAM

Oleh Cikgu Isa

(Ini adalah petikan nota saya tentang "Tatacara Bermesyuarat" yang diedarkan dalam satu kursus kepimpinan pelajar pada 13 April 1999. Komen/tambahan dialu-alukan. Respons akan dimanfaatkan untuk versi berikutnya.--Cikgu Isa) D72 Message: 1 Date: Thu, 15 Apr 1999 21:26:34

Islam sangat menggalakkan mesyuarat (syura). Hal ini nyata dalam firman Allah yang bermaksud, "Bermesyuaratlah dengan mereka dalam apa-apa urusan." (Ali-Imran, 3:159) Satu lagi firman-Nya yang berkaitan, maksudnya, "Urusan mereka (orang Islam) dimesyuaratkan sesama mereka." (As-Syura, 42:38) Agar sesuatu mesyuarat itu menepati kehendak Islam, hendaklah dimulakan dengan niat.

NIAT Menurut istilah syarak, niat ialah tergerak hati ke arah satu pekerjaan untuk mencari keredaan Allah dan menyatakan perasaan tunduk dan patuh kepada perintah-Nya. Sabda Nabi, maksudnya, dari Amirul Mukminin Abu Hafs Umar Ibn Khattab r.a., katanya, "Aku dengar Rasulullah s.a.w. bersabda, ‘Hanya segala amal dengan niat dan hanya bagi tiap-tiap seorang apa yang ia niatkan. Maka sesiapa hijrahnya kerana Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan sesiapa hijrahnya bagi dunia yang ia akan memperolehnya atau perempuan yang ia ingin mengahwininya, maka hijrahnya kepada apa yang ia berhijrah kepadanya itu.’ ’’ (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Bergantung pada beberapa faktor lain, sesuatu mesyuarat boleh menjadi ibadah apabila diniatkan untuk mencari keredaan Allah seperti yang dinyatakan dalam hadis di atas. Oleh itu, sebelum hadir dalam mesyuarat pasanglah niat untuk mencari kebenaran. Janganlah kehadiran seseorang dalam mesyuarat itu dengan niat untuk menunjuk kepandaian, membalas dendam, menyebarluaskan fitnah atau menjatuhkan hukuman dengan mendahului badan kehakiman. Jangan juga ada niat untuk menggagalkan mesyuarat daripada membuat sesuatu keputusan yang menepati kehendak syarak semata-mata untuk melepaskan diri daripada dibebani tugas.

Walau bagaimanapun, jika agenda yang dibincangkan itu bertujuan menegakkan kemungkaran, anggota mesyuarat berkewajipan menentangnya sesuai dengan perintah Allah, antara lain yang bermaksud, "Hendaklah ada antara kamu umat yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh melakukan makruf dan melarang daripada melakukan kemungkaran; mereka itulah orang yang beruntung." (Ali Imran, 3: 104) Bantahan itu hendaklah dilakukan dengan cara yang paling baik sesuai dengan firman Allah yang bermaksud, "Serulah manusia ke jalan (agama) Tuhanmu dengan penuh hikmah dan pengajaran yang baik; dan berbahaslah dengan mereka dengan sebaik-baiknya. .…"(An-Nahl, 16: 125)

SOLAT Mantan Pengarah BPG, Tuan Haji Ahmad bin Mohamad Said ketika berucap dalam satu perhimpunan warga BPG di Kuala Lumpur pada 1 Ogos 1997 menyatakan bahawa BPG adalah sebuah organisasi besar umpama sebuah keluarga yang besar. Setiap keluarga dalam organisasi BPG memiliki tanggungjawab kepimpinan yang tersendiri kerana hakikatnya setiap orang adalah pemimpin. Beliau memetik sebuah hadis, maksudnya, "Setiap kamu adalah pemimpin dan kamu akan ditanya tentang kepimpinan kamu." Menurut beliau, tanggungjawab utama kita ialah menyempurnakan amanah Allah s.w.t. dan ini merupakan "accountability" (kebertanggungjawaban) kita yang paling utama. Menurutnya lagi, kepimpinan adalah suatu taklif (beban tanggungjawab) dan bukannya suatu tasyrif (pangkat kebesaran).

Seterusnya beliau menyatakan, sebagai seorang muslim, perkara paling penting yang akan ditanya oleh Allah s.w.t. ialah solat. Sesungguhnya solat adalah tiang agama dan penghulu ibadat. Solat juga dapat menjadi perisai melindungi manusia daripada melakukan perkara-perkara yang keji atau maksiat. Justeru itu, solat tidak boleh diringankan walau dalam apa keadaan sekalipun. Oleh itu, mesyuarat tidak boleh sama sekali melanggar waktu solat. Sebaliknya, solat hendaklah dimasukkan dalam tatacara mesyuarat. Sekadar satu contoh, jika solat terpaksa diteruskan selepas masuknya waktu ‘Asar, pengerusi hendaklah meminta hadirin Islam menunaikan solat terlebih dahulu. Jika pengerusi sendiri adalah penganut Islam, sebaik-baiknya beliau sendiri menjadi imam.

Di sini saya salinkan dua perenggan daripada laporan (yang telah disunting) tentang satu mesyuarat peringkat negeri tidak lama dahulu untuk renungan kita:

"Mesyuarat ini cacat kerana tiada peruntukan masa khas untuk solat. Oleh sebab sebelum mesyuarat Pengerusi telah memberitahu bahawa mesyuarat akan berakhir selepas pukul 5.00 petang, maka masa khas untuk solat mesti diadakan. Saya telah menjamakkan solat ‘Asar pada waktu Zuhur, dan mereka yang berkelayakan juga saya jangka telah menjamakkan solat masing-masing. Namun demikian, pentadbir-pentadbir pendidikan dan pengurus-pengurus sekolah setempat sangat memerlukan slot khas untuk bersolat.

Seperti biasa, penganjur menyediakan waktu khas untuk minum selama lima belas minit. Anggota mesyuarat kelihatan telah menggunakan kesempatan itu untuk melepaskan hajat kecil dan kemudian mengisi semula tangki yang telah dikosongkan sambil bercakap-cakap ala profesional. Kemudian mereka bergegas ke bilik mesyuarat. Mudah-mudahan mereka telah menggunakan peruntukan masa untuk minum itu bagi menunaikan solat. Jika tidak, mereka telah meruntuhkan aspek rohani dalam Falsafah Pendidikan Negara. Saya yakin kebertanggungjawaban itu juga terletak pada bahu penganjur. Jika penganjur Islam, hal ini pasti akan dibangkitkan dalam perbicaraan di akhirat nanti."

DOA Sesuatu urusan kita, insya Allah, akan diberkati oleh Allah s.w.t. jika mengikut tatacara yang baik. Untuk mendapat keberkatan itu amat mudah, masanya amat singkat dan tiada sebarang belanja perlu dikeluarkan. Antara tatacara yang baik diamalkan ialah memula dan mengakhiri mesyuarat dengan doa. Mesyuarat boleh dimulakan dengan hadirin yang beragama Islam membaca surah al-Fatihah. Mesyuarat itu baik diakhiri dengan bacaan tasbih kafarah dan surah al-‘Asr. JPP sepatutnya menjadikan perkara ini sebagai satu daripada peraturan tetap mereka.





MENJELANG SENJA

Oleh Cikgu Isa

Aku dibesarkan di sebuah kampung yang dikelilingi oleh hutan rimba. Harimau, ular, tebuan dan pelbagai binatang lain adalah sebahagian daripada alam kampungku. Apabila hari senja, ibu sentiasa memastikan aku dan adik-beradikku berada di dalam rumah. Aku menjadi fokus kerana aku satu-satunya anak lelaki, nakal dan berani. Terlalu kerap nenek dan ibu melaung namaku agar aku segera pulang apabila hari mulai senja. Beberapa kali ibu bergerak dari satu tempat ke satu tempat di kawasan kebun kami sambil memanggil-manggil namaku.

"Sudah senja ini. Balik cepat. Senja-senja begini hantu dan syaitan berkeliaran," kata nenek.

Sesekali aku berasa takut juga. Maklumlah, terlalu kerap aku dihidangkan dengan cerita hantu kopek, langsuir, toyol dan sebagainya. Kerapnya aku buat tidak tahu kerana aku belum pernah bertemu dengan hantu dan syaitan. Sebaliknya, ibu, kakak dan adik-adikku kerap terjerit apabila bertembung dengan ular. Namakulah yang akan mereka laungkan. Aku akan bergegas ke tempat mereka dengan sebatang buluh dan membereskan tugas yang memang sudah kumaklumi. Jadi, amat sukarlah aku ditakutkan dengan hantu dan syaitan yang tidak kelihatan sedangkan binatang berbisa yang nyata berbahaya boleh kutangani.

Namun demikian, didikan tradisional yang kualami itu kuaplikasikan apabila aku sendiri mempunyai anak. Aku juga memastikan anak-anakku berada di dalam rumah sebelum waktu Maghrib. Ada masanya aku bertindak tegas dengan menarik tangan anak lelakiku keluar daripada kumpulan rakan sebayanya yang masih berkeriau dengan sebiji bola sedangkan sebentar lagi azan Maghrib akan berkumandang.

Sesungguhnya, telah kusaksikan pada zaman dahulu, menjelang waktu senja burung-burung pulang ke sarang, ayam dan itik masuk ke reban, kambing dan lembu balik ke kandang, dan para petani berduyun-duyun ke surau. Sesungguhnya, telah kualami atau kusaksikan pada zaman dahulu, menjelang waktu senja anak-anak berkumpul di rumah, pintu dikunci, tempayan ditutup, kami duduk diam-diam.

Pada zamanku kini, menjelang waktu senja, kanak-kanak riuh di padang, pemain badminton menuju ke dewan, pemain tenis berhempas-pulas merebut mata terakhir agar perlawanan dilanjutkan ke rubber set, peminat bola berpusu-pusu ke stadium, dan golongan elit berderet-deret menuju ke kelab. Pada zamanku kini, menjelang waktu senja, manusia berduyun-duyun ke pasar malam, manusia berkeliaran di pasar raya, kereta berderetan di jalan raya … hanya beberapa anak muda dan orang tua pencen menuju ke masjid.

Aku bicara hal ini kerana, secara kebetulan, baharu sebentar tadi aku terbaca dua buah hadis yang mengesahkan ajaran tradisi nenek dan ibuku, dan yang menyangsikan amalan manusia zaman kiniku.

HADIS 1 Daripada Jabir bin Abdullah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: Apabila hari telah senja, laranglah anak-anak keluar rumah kerana ketika itu syaitan berkeliaran. Sejam selepas itu, apabila telah malam, biarkanlah mereka. Kuncilah pintu dan sebut nama Allah kerana syaitan tidak dapat membuka pintu yang terkunci (dengan menyebut nama Allah). Tutup tempayanmu dengan menyebut nama Allah. Tutup semua bejanamu, sekalipun dengan membentangkan sesuatu di atasnya, dengan menyebut nama Allah; dan padamkan lampu ketika hendak tidur. (Hadis 1936 dalam Terjemah Hadis Sahih Muslim, 1989)

HADIS 2 Daripada Jabir r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: Jangan biarkan ternak dan anak-anakmu lepas berkeliaran ketika matahari terbenam sampai hilangnya cahaya senja kerana syaitan keluar ketika matahari terbenam sehingga hilang cahaya senja. (Hadis 1937 dalam Terjemah Hadis Sahih Muslim, 1989)

Jadi sekarang apa bicara anda?

13 Mac 1999.


ULAMA TIDAK DIPEDULIKAN

Oleh Ahli Usrah D50 Message: 2 Date: Wed, 10 Mar 1999 13:59:37 PST From: "Ahli Usrah"

MAKSUD HADIS

Daripada Sahl bin Saad as-Saaidi r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: Ya, Allah, janganlah kautemukan aku, dan mudah-mudahan kamu (sahabat), tidak bertemu dengan satu zaman yang (pada masa itu) para ulamanya sudah tidak diikuti lagi, dan orang yang penyantun sudah tidak disegani lagi. Hati mereka seperti hati orang Ajam (pada fasiknya), lidah mereka seperti lidah orang Arab (pada fasihnya.) (Ahmad)

RINGKASAN ULASAN OLEH AL-BANJARI

Nampak masyarakat hari ini takut mendekati para ulama kerana mereka khuatir perbuatan mereka akan ditegur. Malah, ada insan sengaja melakukan maksiat di hadapan ulama untuk melahirkan egonya, sekali gus menyinggung perasaan ulama. (Untuk ulasan lanjut, lihat Empat Puluh Hadis Tentang Peristiwa Akhir Zaman susunan Abu Ali Al-Banjari An-Nadwi, halaman 73-74.)

ULASAN SAYA

Ini juga sejenis kegawatan. Kita pernah membaca/mendengar berita bahawa ada orang bukan sahaja mempersenda ulama, malah mempersenda nabi sendiri.

RANGSANGAN/SOALAN

Saya berasa hairan kerana sebahagian sahabat yang saya anggap bertaraf ulama tidak mahu mengakui dirinya demikian. Kadang-kadang saya beranggapan sahabat seperti itu tidak mahu menonjolkan identitinya kerana beberapa sebab. Antaranya, mungkin (sekali lagi mungkin) beliau mengelakkan diri daripada tanggungjawab sebagai ulama dalam komunitinya. Satu lagi kemungkinannya ialah takut dicabar seperti yang dimaksudkan oleh hadis ini.

Apa pula pendapat tuan?





Forum GU D-030 8 Februari 1999

Nota Usrah: Tafsir Surah An-Nas (2)

SEBENARNYA SYAITAN PENGECUT!

Oleh Cikgu Isa

Sebenarnya syaitan itu pengecut. Syaitan tidak berani bertindak secara terang-terangan. Syaitan hanya bertindak secara sembunyi-sembunyi dan terhadap insan yang lalai sahaja. Syaitan amat takut kepada manusia yang berani, iaitu insan beriman yang mengamalkan zikir dan bersenjatakan doa.

Syaitan pengecut itu akan berundur menyembunyikan diri apabila ditentang oleh insan beriman seperti sabda Rasulullah s.a.w. (maksudnya): "Apabila manusia menyebut nama Allah, ia (syaitan) akan mengundurkan diri; dan apabila manusia lalai, dia akan membisikkan kejahatan."

Isu ini hangat dibincangkan dalam Usrah Muslimin BKP Siri Ke-16 pada 4 Februari 1999 lalu. Perbincangan itu adalah sambungan tafsir surah An-Nas berdasarkan Tafsir fi Zilalil Qur'an, Juzuk Amma (Jawi), 1988, halaman 19--21, yang telah dimulakan dalam usrah siri ke-15, minggu lalu.

EMPAT GOLONGAN PENGGODA

Menurut Syed Qutb, terdapat empat golongan penghasut dari kalangan manusia iaitu teman jahat, pemagar, tukang umpat dan penjual nafsu: teman jahat menaburkan kejahatan ke dalam hati dan akal kawannya tanpa disedari; pemagar para pembesar membisikkan idea jahat kepada tuannya sehingga para pembesar itu menzalimi rakyat; tukang umpat menggunakan kata-kata yang indah dengan licik sehingga kepalsuan yang disebarkannya kelihatan seolah-olah benar; dan penjual nafsu, dengan gaya yang amat menarik, menyelinap masuk dari pintu naluri--tidak dapat ditolak melainkan dengan kekuatan iman dan pertolongan Allah!

Menurut Syed Qutb lagi, ada hasutan jahat manusia yang lebih buruk daripada hasutan syaitan.

"Di sana terdapat berpuluh-puluh jenis pembisik kejahatan yang datang dan menghilang, yang membuat perangkap kejahatan dan menyeludupkannya ke dalam hati manusia. Mereka lebih jahat daripada syaitan yang tidak nampak dan lebih halus jejak langkahnya," tulis beliau.


Kembali ke hompej Kembali ke Indeks Arkib GU

(c) Hak Cipta GU 1999



Forum GU D-029 5 Februari 1999



IKHLAS BERIBADAT

Oleh Cikgu Isa

Hari itu, ketika waktu Subuh hampir berakhir, Nabi Muhammad s.a.w. ditanya oleh malaikat sama ada sudah azan atau belum. Nabi memberitahu, azan bukan sahaja sudah dikumandangkan tetapi baginda dan para sahabat telah selesai bersolat Subuh.

Azan Subuh itu lebih merdu daripada biasa. Azan itu dilaungkan oleh seorang sahabat setelah mendapat kebenaran untuk mengambil alih tugas Bilal.

Sebenarnya, muazin yang bersuara merdu itu memohon untuk menjadi muazin selama setahun. Oleh sebab Nabi tidak mengizinkannya, dia menurunkan permohonannya dari setahun menjadi sebulan, dari sebulan menjadi seminggu, dari seminggu menjadi sehari; sehinggalah dibenarkan oleh Nabi untuknya mencuba suara merdunya itu pada subuh itu sahaja.

Demikian dijelaskan oleh Ustaz Dzahar bin Ahmad, Naqib 3 Usrah BKP yang melaksanakan tugas naqib dalam usrah kali keenam malam tadi. Beliau memetik kisah ini ketika menghuraikan subtajuk ikhlas dalam usrah itu.

Menurutnya, suara Bilal bin Rabah, tidaklah berapa merdu, tetapi Bilal mengalunkan azan itu dengan ikhlas sehingga dapat menarik perhatian para malaikat.

Sebaliknya, suara merdu sahabat yang mengambil alih tugas Bilal subuh itu terlepas daripada pendengaran para malaikat.

"Ini membuktikan nilai ikhlas di sisi Allah," kata Ustaz Dzahar.

Sebelum itu, ketika menghuraikan pengertian hijrah, Ustaz Dzahar mengimbas peristiwa pengepungan rumah Rasulullah s.a.w. oleh penduduk Mekah untuk menghalang baginda berhijrah ke Madinah.

Dikisahkan, Rasulullah membaca ayat kesembilan surah Yasin. Kemudian baginda meraup segenggam pasir lalu ditaburkannya ke atas orang yang mengepung rumahnya. Baginda keluar dengan aman tanpa dilihat oleh musuh-musuhnya itu.

"Ayat ini memang boleh dijadikan pendinding diri dan rumah kita. Bacaannya hendaklah dilakukan dalam bilangan ganjil: 3, 5, 9, dan seterusnya," kata Ustaz Dzahar.

Firman Allah itu bermaksud, "Dan Kami jadikan tabir (tutup) di hadapan mereka dan di belakangnya, lalu Kami jadikan mereka tidak dapat melihat." (Yasin, 36:9).

Sumber lain menukilkan, Rasulullah membaca ayat 1-9 surah itu. Wallahualam. (Berita Usrah, 6/1998)

SUSULAN

1. Jika ada sesiapa mengetahui sumber rujukan kisah Bilal di atas, sila kirimkan ke forum ini.

2. Berdasarkan pemerhatian, setelah mendengar kisah ini semasa usrah dan setelah membaca "berita" di atas, seorang muazin masjid institusi kami telah "berubah". Bolehkah sesiapa mengagak: perubahan itu positif atau negatif?






Kembali ke hompej

Kembali ke Indeks Arkib GU

(c) Hak Cipta GU 1999






JADILAH ORANG ASING!

Oleh Cikgu Isa

PEMBUKA BICARA

Pernahkah anda bertemu dengan orang asing yang sanggup mati demi mempertahankan Islam? Jika pernah, berapakah jumlah orang seperti itu yang telah anda temui?

Katakan anda tidak pernah bertemu dengan mereka.

Adakah ini bermaksud Islam itu sendiri sudang kembali terpinggir dalam negara anda?

Bolehkah anda menjawab "tidak" jika anda tinggal di Malaysia?

Bolehkah anda menjawab "ya" jika anda tinggal di Pakistan?

Bolehkah anda menjawab "tidak" jika anda tinggal di Sabah? Bolehkah anda menjawab "ya" jika anda tinggal di Kelantan?

Asingkah Islam di Amerika?

Bagaimana pula kedudukan Islam di Arab Saudi?

MAKSUD HADIS

Jika anda belum berupaya menjawab soalan-soalan di atas, fahami sahaja maksud hadis ini: Daripada Abu Hurairah r.a. katanya: Sabda Rasulullah s.a.w.: Islam mula tersebar dalam keadaan dagang (asing); dan ia akan kembali asing pula. Maka beruntunglah orang-orang yang asing. (Muslim)

ULASAN

Ya, Islam mula tersebar di Mekah dalam keadaan yang sangat asing dan dagang. Penganutnya terlalu sedikit jika dibandingkan dengan penentangnya. Kemudian Islam tersebar ke seluruh pelosok dunia. Kini lebih kurang dua pertiga penduduk dunia adalah umat Islam. Seorang daripada mereka adalah anda!

Menurut hadis ini, jika anda termasuk dalam kategori orang asing anda sebenarnya beruntung. Katakan anda sedang menghadiri satu mesyuarat atau perhimpunan. Pada masa itu azan 'Asar berkemundang. Anda segera minta diri untuk menunaikan solat di masjid--seratus meter dari tempat mesyuarat itu. Sekiranya ada orang Islam dalam mesyuarat itu menyatakan perlakuan anda itu luar biasa, ekstrem, mengada-ngada, tidak sabar, dan sebagainya; sudah ada kemungkinan untuk anda tergolong dalam kategori orang asing.

Untuk ulasan tambahan dan hampir sama, sila baca buku kecil Empat Puluh Hadis Tentang Peristiwa Akhir Zaman susunan Abu Ali Al-Banjari An-Nadwi (Ahmad Fahmi Zamzam), halaman 28--29.