From: "yurizal"

From: "yurizal" <yurizal@ehyper.com.my>

To: "yurizal" <yurizal@ehyper.com.my>

Subject: [fikrah] BATASAN KETAATAN

Date: Sunday, June 22, 2003 1:39 PM

BATASAN KETAATAN

Oleh

Mohd Asri Zainul Abidin




"Dengar dan taat (kepada pemerintah) adalah kewajipan setiap individu muslim dalam perkara yang dia suka atau benci selagi dia tidak diperintahkan dalam perkara maksiat. Apabila dia diperintahkan dalam perkara maksiat maka tiada lagi dengar dan taat." 1

Hadith di atas dengan jelas mewajibkan setiap muslim mentaati para pemerintah dalam apa jua perkara, selagi tidak berbentuk maksiat kepada Allah. Bahkan di dalam hadith di atas baginda Nabi s.a.w. menegaskan bahawa ketaatan kepada para pemerintah merangkumi perkara yang disukai atau dibenci selagi ianya tidak bersifat maksiat kepada Allah. Kata al-Imam an-Nawawi (meninggal 676H) dalam mensyarahkan hadith berkenaan: "Maksudnya (hadith di atas) wajib mentaati para pemerintah dalam perkara yang susah, yang tidak disukai oleh jiwa dan selainnya dalam perkara yang tidak maksiat." 2

Bahkan jika bertembung pandangan atau ijtihad pemerintah dengan pandangan atau ijtihad mereka yang dibawahnya maka wajib dilaksanakan keputusan yang dikeluarkan oleh pemerintah selagi mana perkara tersebut bukan berbentuk maksiat kepada Allah sekalipun jiwa kita tidak suka kepada ijtihad berkenaan.

?? ??? ???? ??? ???? ????? ?? ???? ???? r ???: ?? ??? ?? ????? ???? ?????? ???? ?? ??? ?? ??????? ???? ??? ???? ??????

Daripada Ibn `Abbas r.a. "Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah bersabda: Sesiapa yang membenci dari pemerintahnya sesuatu perkara maka hendaklah dia sabar kerana sesungguhnya sesiapa yang keluar dari penguasa sejengkal mak dia mati seperti mati jahiliyyah." 3

Perkataan maksiat adalah istilah yang telah diguna pakai di dalam di dalam syara'. Ianya berasal dari kalimat ???-???? `iaitu derhaka. Dari segi istilahnya pula, kata Abu al-Baqa al-Kafawi: Az-Zanbu dan al-Ma'siyah kedua-duanya nama bagi perbuatan yang diharamkan untuk dilakukan oleh seseorang dengan hasrat melakukan perbuatan haram berkenaan. 4

Dalam kata lain perkataan maksiat atau ma'siyah bermaksud melakukan sesuatu perbuatan yang haram dengan kerelaan sedangkan disedari ianya adalah sesuatu yang haram di sisi Allah.

Berdasarkan hadith di atas maka kita dilarang mentaati sesuatu arahan yang berbentuk menderhakai Allah iaitu perkara-perkara yang haram. Kata Ibn Hajar al-`Asqalani (meninggal 852H) : "Tidak wajib mentaati dalam perkara maksiat bahkan diharamkan demikian itu kepada sesiapa yang mampu mengelakkannya." 5

Dalam sebuah hadith yang lain yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim diceritakan bagaimana Rasulullah s.a.w. pernah menghantar satu pasukan kecil tentera dan dilantik seorang lelaki Ansar mengetuai mereka serta memerintahkan mereka agar taat kepadanya. Semasa dalam tugasan, lelaki itu pernah marah kepada mereka dan berkata: "Tidakkah kamu diperintahkan untuk taat kepadaku?" Jawab meraka: "Bahkan". Katanya: "Aku telah putuskan apabila kamu siap kumpulkan api, kamu nyalakannya dan hendaklah kamu masuk kedalamnya". Maka mereka pun mengumpulkan kayu api dan menyalakannya dan apabila mereka hendak masuk ke dalamnya maka mereka melihat antara satu sama lain. Maka salah seorang dari mereka terfikir: "Kita ini mengikut Nabi s.a.w. hanya kerana ingin lari dari api (neraka) apakah kita patut masuk ke dalamnya?". Sedang mereka dalam keadaan tiba-tiba api tersebut pun terpadam dan kemarahan ketua mereka kembali tenang. Maka apabila kisah tadi disebut kepada Nabi s.a.w., baginda bersabda:


Maksudnya:

Jika mereka memasukinya maka mereka tidak dapat keluar darinya selama-lama (mereka akan mati dan tidak dapat kembali ke dunia). Ketaatan itu hanya itu hanya dalam perkara ma'ruf (kebaikan)." 6

Dengan itu menjadi suatu kaedah di dalam Islam bahawa ketaatan kepada sesiapa pun selain Allah dan RasulNya adalah tidak mutlak bahkan muqayyad atau terikat dengan ketaatan kepada Allah dan RasulNya. Ertinya tidak ada ketaatan kepada sesiapapun jika melanggar larangan Allah. Wajib ditaati setiap pihak yang diwajibkan Allah untuk ditaati seperti ibubapa dan para pemimpin, jika arahan dan peraturan mereka tidak melanggar perkara yang diharamkan Allah.

Allah menegaskan di dalam al-Quran dengan susunan ayat yang sangat indah dan bermakna yang berkaitan sistem politik pemerintah dan rakyat. Firman Allah:


Maksudnya:"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum di kalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha mendengar lagi Maha melihat.(58) Wahai mereka yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul dan uli al-Amr dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih pendapat maka kembalilah kepada Allah (al-Quran) dan ar-Rasul (as-Sunnah), jika kamu benar beriman dengan Allah dan hari akhirat. Yang demikian itu yang paling utama dan paling baik akibatnya (59)" [Surah an-Nisa' ayat 58-59]

Para jumhur mufassirin (`ulama tafsir) berpendapat bahawa perkataan uli al-Amr di dalam ayat di atas bermaksud para pemerintah. Ada pula yang berpendapat ianya bermaksud pakar al-Quran dan pengetahuan atau dalam kata lain para `ulama. Kedua-kedua tafsir dianggap betul di sisi para mufassirin Kata al-Imam al-Qurtubi di dalam al-Jami' li Ahkam al-Quran dalam menafsirkan ayat di atas: "Ayat yang sebelumnya (iaitu ayat 58) ditujukan kepada para pemerintah, arahan dimulakan kepada mereka dengan Allah menyuruh mereka menunaikan amanah dan memerintah dengan `adil. Maka selepas itu, ayat ini pula (iaitu ayat 59) ditujukan kepada rakyat jelata dengan disuruhkan mereka mentaati Allah Jalla wa Azza iaitu melaksanakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya. Kedua, diperintah mentaati Rasul mengenai apa yang disuruh dan dilarang. Kemudian, mentaati pemerintah adalah yang ketiga" Dalam huraian yang lain al-Imam al-Qurtubi menyebut riwayat daripada Saiyyidina Ali bahawa beliau menyebut: "Tanggungjawab imam (pemerintah) ialah memerintah dengan adil dan menunaikan amanah. Apabila dia menjalankan tanggungjawab sedemikian maka wajib ke atas muslimin mentaatinya. Ini kerana Allah menyuruh agar ditunaikan amanah dan melaksanakan keadilan kemudian diperintahkan agar rakyat mentaatinya (pemerintah)" 7

Hendaklah diketahui bahawa ketaatan kepada para pemerintah yang tidak melanggar prinsip-prinsip utama Islam atau dalam kata lain tidak berlaku pada sistem atau diri pemerintah kufr bawwah adalah menjadi tanggungjawab setiap rakyat. Ini sama ada kepada mereka yang pernah berjanji untuk taat atau tidak pernah berjanji. Sebaik sahaja naiknya sesuatu pemerintahan Islam dengan cara yang diterima di sisi syarak maka secara langsung tanggunjawab ketaatan terpikul di atas setiap individu rakyat. Tanpa mengira sama ada sebelum kenaikan pemerintah berkenaan dia berada di pihak penyokong ataupun penentang.Kata Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah (meninggal 728H) dalam menyentuh hal ini: "Apa yang diperintahkan Allah dan RasulNya mengenai taat kepada para pemerintah dan menasihati mereka adalah wajib ke atas setiap insan sekalipun dia tidak pernah mengikat sebarang janji, sekalipun dia tidak bersumpah dengan sumpah yang kukuh. Ianya sepertimana wajibnya solat lima waktu, zakat, puasa haji dan apa saja yang diperintahkan Allah dan RasulNya untuk taat . Jika dia (seseorang di kalangan rakyat) bersumpah untuk taat, itu hanyalah sebagai memperkukuh dan menguatkan apa yang yang diperintahkan Allah dan RasulNya mengenai mentaati para pemerintah dan menasihati mereka." Katanya juga: "Kerana sesungguhya apa yang yang diperintahkan Allah dan RasulNya mengenai mentaati para pemerintah dan menasihati mereka adalah wajib sekalipun tidak bersumpah (berjanji) untuk itu, apatah jika dia bersumpah! Apa yang Allah dan RasulNya tegah mengenai menderhaka dan menipu mereka adalah diharamkan sekalipun ia tidak bersumpah untuk tidak melakukannya" 8

Dengan itu apabila seseorang atau sesuatu golongan berjaya menguasai pemerintahan dan membentuk kerajaan maka segala arahan dan peraturannya wajib bagi setiap insan rakyat mentaatinya -selagi mereka tidak menyanggahi Allah dan RasulNya- sekalipun jika sesorang itu membenci dan tidak pernah berjanji untuk taat. Jika dia menderhakainya maka bererti dia telah menderhakai Allah.

Sabda Nabi s.a.w. :



"Sesiapa yang mentaati pemimpin maka sesungguhnya dia telah mentaatiku dan sesiapa yang menderhakai pemimpin sesungguhnya menderhakaiku" 9

--------------

1- Riwayat al-Bukhari dan Muslim.

2- Al-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 12/537, cetakan Dar- al-Khair, Syria

3-Riwayat Al-Bukhari dan Muslim.

4- al-Kulliyyat, oleh Abu al-Baqa' al-Husaini al-Kafawi, m.s. 40. Cetakan, Muassasah ar-Risalah, Beirut

5- Fath al-Bari juzuk 14, m.s. 18

6- Riwayat al-Bukhari dan Muslim

7- jilid 5 m.s. 259, cetakan Dar al-Fikr, Beirut

8- Al-Khilafah wa al-Mulk m.s. 14. cetakan.Dar al-Manar, Jordan

9- Riwayat Muslim